Zii Jia berdepan laluan sukar di All England
KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, dijangka berdepan cabaran getir menawan semula kejuaraan All England yang pernah dimenanginya pada 2021.
Sementara itu, beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani turut bersedia menghadapi saingan sengit di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.

Zii Jia yang kini berada di ranking ketujuh dunia, bakal berdepan halangan besar seawal suku akhir sekiranya bertemu pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi.
Berdasarkan rekod pertemuan, Zii Jia hanya menang sekali dalam enam perlawanan menentang Yu Qi, sekali gus memberi kelebihan kepada pemain China itu.
Yu Qi menutup tirai 2024 dengan menjuarai Jelajah Dunia Akhir sebelum memulakan musim 2025 dengan kemenangan di Terbuka Malaysia dan mara ke separuh akhir Masters Indonesia.
Bagaimanapun, pemain yang pernah menjuarai All England pada 2018 itu dijangka berusaha keras untuk menambah satu lagi gelaran dalam koleksinya.
Namun sebelum memikirkan saingan suku akhir, Zii Jia perlu melepasi cabaran awal apabila diundi menentang pemain Hong Kong, Angus Ng, di pusingan pertama.
Walaupun Angus kini dibimbing bekas pengarah kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, yang memiliki pengetahuan mendalam mengenai corak permainan Zii Jia, pemain negara itu mempunyai kelebihan dengan rekod kemenangan 5-0 dalam pertemuan mereka sejak 2023.
Jika berjaya mara ke pusingan kedua, Zii Jia berkemungkinan besar bertemu bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew.
Walaupun rekod pertemuan memihak kepada Zii Jia dengan lapan kemenangan daripada sepuluh perlawanan, Kean Yew mungkin kembali bersemangat selepas muncul naib juara kepada Viktor Axelsen di Terbuka Jerman minggu lalu.
Sekiranya melangkah ke separuh akhir, cabaran lebih besar menanti dengan kemungkinan menentang juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie, juara 2023 dari China, Li Shi Feng atau pemain India, Lakshya Sen.
Seorang lagi wakil Malaysia, Leong Jun Hao, yang membuat penampilan sulung di kejohanan itu, berdepan tugas berat apabila diundi bertemu Jonatan dalam pusingan pertama.
Dalam acara beregu lelaki, harapan Malaysia untuk menamatkan kemarau kejuaraan All England sejak 18 tahun lalu terletak di bahu pasangan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, dan beregu nombor lima dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kedua-dua pasangan ini dijangka berdepan laluan berliku dalam usaha merebut gelaran berprestij itu.
Saingan All England tahun ini bakal menjadi medan penting buat pemain negara dalam mengukur keupayaan mereka menjelang kejohanan utama lain sepanjang musim ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








