Yang di-Pertuan Agong terima taklimat gempa bumi di Segamat
SEGAMAT – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini berkenan dipersembahkan taklimat berhubung perkembangan terkini siri gempa bumi yang melanda daerah Segamat sejak hujung bulan lalu.
Taklimat tersebut disampaikan oleh Pegawai Daerah Segamat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Mohd Ezzuddin Sanusi bersama wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Sejak 24 Ogos 2025, Segamat merekodkan beberapa gegaran lemah yang turut dirasai di beberapa kawasan lain di Johor.
Menurut JMG, kejadian itu berpunca daripada pengaktifan semula Sesar Mersing akibat tekanan tektonik serantau.
Pergerakan sesar dikenal pasti sebagai jenis sinistral strike-slip, iaitu blok kerak bumi di bahagian utara bergerak ke barat, manakala blok selatan bergerak ke arah timur.
Setakat ini, tiada laporan kecederaan serius dilaporkan, namun beberapa struktur bangunan dilaporkan mengalami kerosakan kecil. Pihak berkuasa tempatan terus menjalankan pemantauan rapi sebagai langkah berjaga-jaga.
Kronologi Gempa Bumi di Johor
-
24 Ogos 2025, 9:00 pagi – Gegaran magnitud 2.8 di Yong Peng, kira-kira 28 km barat laut Kluang.
-
27 Ogos 2025, 8:59 pagi – Gempa magnitud 3.2 berpusat 18 km selatan Segamat pada kedalaman 10 km.
-
28 Ogos 2025, 7:56 malam – Gegaran lemah magnitud 2.5 berlaku 13 km utara Segamat.
-
29 Ogos 2025, 4:24 pagi – Gempa magnitud 3.4 dikesan, berpusat 22 km timur laut Segamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








