Wang BAP diagihkan sepenuhnya kepada murid, pelajar tanpa sebarang pemotongan
KUANTAN – Wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 bagi murid dan pelajar pada 2025 tidak akan dipotong bagi tujuan lain.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Ahmad Suhaimi Endut berkata, kementerian sudah mengarahkan pihak sekolah mengagihkan jumlah itu sepenuhnya tanpa sebarang potongan, termasuk bagi pembayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan ibu bapa yang mengatakan duit ini (BAP) akan dipotong PIBG umpamanya, atau perkara lain, dan kita tidak mahu perkara ini berlaku.
“Oleh itu, kita harap bantuan yang diterima ini akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan berbanding perkara lain oleh ibu bapa,” katanya.
Ahmad Suhaimi berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2025 peringkat Pahang di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan Pengarah JPNP Datuk Amzan Abd Malek.
Pada majlis itu, JPNP menerima BAP berjumlah RM39.13 juta membabitkan 260,904 murid dan pelajar.
Bagi pengagihan BAP tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM791.25 juta, yang mana setiap murid akan menrima RM150 secara sekali bayar.
Inisiatif ini memanfaatkan 5.2 juta murid dan pelajar di seluruh negara.
Bayaran BAP kepada murid dan pelajar dilakukan pihak sekolah sama ada menggunakan kaedah serahan tunai kepada ibu bapa (sekolah rendah), ibu bapa atau pelajar (sekolah menengah), pengkreditan ke akaun bank murid dan pelajar atau pengkreditan ke akaun bank ibu bapa.
Ahmad Suhaimi berkata, mulai tahun ini, pemberian BAP diperluaskan kepada pelajar tingkatan enam membabitkan 100,000 orang dengan peruntukan keseluruhan RM15 juta, dan dijangka akan diagihkan Julai depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






