BERITA SEMASA

Wakil pertama keluarga B40 ke IPT dikecualikan bayaran yuran pengajian

PETALING JAYA – Wakil pertama daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam akan dikecualikan sepenuhnya daripada membayar yuran pengajian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (Sulung) itu akan memperuntukkan kira-kira sebanyak RM30 juta kepada semua universiti awam.

“Justeru, inisiatif KPT dalam memastikan wakil pertama daripada keluarga B40 yang berjaya memasuki IPT menerima bantuan dan sokongan yang selayaknya.

“Inisiatif khas ini dikenali sebagai Program Pembangunan Siswa Sulung atau ringkasnya Sulung dan telah dimulakan pada tahun lalu.

“Program Sulung ini mensasarkan wakil pertama daripada keluarga B40 yang berjaya diterima masuk ke universiti. Mereka yang dikenal pasti ini akan dikecualikan sepenuhnya bayaran yuran pengajian,” kata Khaled.

Mohamed Khaled berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Universiti Malaya, di sini hari ini.

Bagaimanapun jelas Mohaemd Khaled, para pelajar perlu menyediakan kewangan sendiri bagi kos sara hidup kerana program tersebut hanya menanggung yuran pengajian sahaja.

Inisiatif ini dilaksanakan kerana terdapat anak-anak daripada golongan B40 memperoleh keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) namun tidak berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan dan peluang.

Jelasnya, perkara tersebut adalah sesuatu yang sangat dikesalkan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) nekad memastikan tragedi seperti itu tidak berulang lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button