PENDAPATRENCANA

Vape: Gaya baharu, risiko lama

Oleh NURUL FATIHAH BINTI ABD RAHAMAN

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, satu fenomena yang sangat ketara dalam masyarakat Malaysia ialah peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape terutamanya dalam golongan muda.

Ini kerana vape dipercayai sebagai pilihan yang lebih selamat, kurang berbahaya dan boleh membantu mereka untuk berhenti merokok secara beransur-ansur.

Namun, adakah vape benar-benar penyelesaian atau sekadar perangkap nikotin dalam bentuk yang baharu?

Menurut Global Adult Tabacco Survey (GATS) Malaysia 2023, penggunaan vape dalam kalangan dewasa Malaysia telah meningkat kepada 5.8 peratus berbanding hanya 0.8 peratus pada 2011.

Dijual secara meluas menyebabkan vape menjadi pilihan sebagai alternatif berhenti menghisap rokok tembakau.

Ini merupakan peningkatan enam kali ganda dalam tempoh lebih satu dekad, menandakan perubahan yang besar terhadap penggunaan produk tembakau di negara kita.

Sementara itu, tinjauan daripada Malaysia Vape Chamber of Commerce (MVCC) pada tahun 2023 melaporkan kira-kira 31 peratus perokok telah beralih sepenuhnya kepada vape, manakala 49 peratus lagi menggunakan vape untuk mengurangkan atau cuba berhenti merokok.

Statistik ini menunjukkan terdapat kecenderungan tinggi untuk melihat vape sebagai alat untuk proses berhenti daripada merokok.

Bagi perokok yang sudah bertahun-tahun, vape adalah jalan keluar untuk berhenti merokok kerana vape tidak mengandungi tar seperti rokok.

Bagi mereka, ia boleh diterima kerana masih dapat melepaskan ketagihan nikotin tanpa bau busuk asap rokok, tanpa batuk berpanjangan dan tanpa stigma sosial yang kuat terhadap perokok tembakau.

Walaupun vape tidak menghasilkan tar atau karbon monoksida seperti rokok, ia tetap mengandungi nikotin iaitu bahan utama yang menyebabkan ketagihan secara berterusan.

Kajian menunjukkan bahawa cecair vape yang dipanaskan boleh menghasilkan bahan toksik seperti formaldehid, asetaldehid dan logam berat yang boleh membahayakan kesihatan jika digunakan secara berlebihan atau tidak terkawal.

Malangnya, ramai perokok tegar beranggapan bahawa vape adalah jalan pintas untuk berhenti merokok, malah makin menyebabkan keadaan makin memburuk iaitu boleh menghidap pelbagai penyakit.

Antara risiko yang serius yang dikaitkan dengan penggunaan vape ialah popcorn lungs atau dipanggil sebagai bronchiolitis obliterans.

Ia adalah suatu keadaan pernafasan yang mempengaruhi bronkiol di paru-paru yang boleh mengakibatkan keradangan ataupun rosak.

Popcorn lungs adalah suatu keadaan pernafasan yang mempengaruhi bronkiol di paru-paru yang boleh mengakibatkan keradangan ataupun rosak.

Salah satu punca yang boleh menyebabkan popcorn lungs ini adalah seseorang yang menghidu atau menghirup bahan toksik seperti diacetyl.

Diacetyl ini boleh ditemui di dalam vape. Ia salah satu punca mengapa vape berbahaya terhadap kesihatan seseorang.

Baru-baru ini telah tular di media sosial, seorang wanita menggigil teruk selepas menghisap vape yang dikenali sebagai ‘Piao Piao’.

Remaja perempuan tersebut kelihatan sukar untuk bernafas dan akhirnya mengalami kekejangan di lantai.

Namun begitu, meskipun pelbagai insiden yang tular dan amaran yang telah diberikan oleh pakar kesihatan mengenai penggunaan vape, masih ramai yang terus mengambil ringan dan tidak serik untuk menggunakannya.

Melihat kepada situasi yang semakin membimbangkan ini, adalah penting untuk pihak berkuasa mengambil langkah yang lebih tegas dari segi penguatkuasaan dan undang-undang.

Malaysia sebenarnya sudah lama memperkenalkan Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 bagi mengawal semua jenis produk berkaitan tembakau termasuk vape.

Namun begitu, pelaksanaan akta ini masih berhadapan dengan beberapa kekangan dan cabaran di peringkat penguatkuasaan.

Antara cabaran utama ialah kewujudan lambakan produk vape yang tidak berdaftar di pasaran seperti menjual di platform atas talian dan penjualan vape kepada golongan bawah umur tanpa pengawasan yang ketat.

Keadaan itu bukan sahaja menggagalkan matlamat utama akta yang telah dikeluarkan, malah memberi ruang kepada penyalahgunaan vape ini secara meluas.

Apa yang lebih membimbangkan, kandungan sebenar dalam cecair vape yang dijual di pasaran masih banyak yang tidak dikawal atau disahkan.

Bahan berbahaya seperti diacetyl dan nikotin berkepekatan tinggi boleh wujud dalam produk-produk ini tanpa disedari oleh pengguna.

Malah, dalam banyak keadaan, label pada botol tidak mencerminkan kandungan sebenar, sama ada disebabkan kecuaian pengeluar atau pemalsuan maklumat dan akhirnya pengguna yang menanggung risiko.

Justeru, antara langkah yang patut diberi perhatian termasuklah mengharamkan penjualan vape berperisa yang sering menarik minat golongan muda, memperketat penguatkuasaan terhadap penjual dalam talian yang sukar dipantau serta memperkukuh kerjasama antara kementerian, pihak sekolah dan komuniti bagi mewujudkan persekitaran yang menolak budaya ketagihan ini.

Akhirnya, isu penggunaan vape ini bukan sekadar melibatkan undang-undang atau kesihatan awam semata-mata.

Ia sebenarnya menyentuh soal masa depan generasi akan datang dan sejauh mana kita bertanggungjawab membentuk masyarakat yang lebih sihat, sedar dan bebas daripada kebergantungan nikotin.

Undang-undang yang dirangka hanya akan berkesan jika disusuli dengan tindakan yang tegas dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak.

* Penulis merupakan pelajar Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button