‘Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya dahulu’ – Anwar
KUALA LANGAT – Had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun akan mula terpakai kepada dirinya terlebih dahulu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ia bermula dengan saya. Saya tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain.
“Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada had yang dicadangkan itu akan berkuat kuasa serta-merta atau pada masa akan datang.
Beliau kemudiannya menambah, tempoh maksimum selama 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri adalah mencukupi kepada seseorang pemimpin untuk mentadbir negara dan melaksanakan tugas dengan berkesan.
“Sesiapa yang ingin berkhidmat kepada negara dengan ikhlas akan mendapati 10 tahun adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
“Selepas itu, jawatan itu wajar dibuka kepada rakan-rakan lain untuk meneruskan khidmat,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata cadangan itu boleh dipercepatkan dan jika mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen, ia mungkin diluluskan pada persidangan Parlimen akan datang.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mengesahkan rang undang-undang untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.
Azalina berkata bacaan kali kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu dijadualkan pada minggu berikutnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








