UMNO mahu kerajaan kembalikan peperiksaan Tahun 6, Tingkatan 3
KUALA LUMPUR – UMNO mahu Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan semula pelaksanaan peperiksaan khusus bagi pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 sebagai langkah memperkukuh sistem pendidikan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu perlu dibawa ke peringkat Majlis Peperiksaan Negara (MPN) dan memerlukan sokongan penuh perwakilan parti agar dapat dilaksanakan.
Menurut beliau, UMNO menegaskan agar penilaian di peringkat Tahun 6 dan Tingkatan 3 diadakan semula oleh KPM kerana ia penting dalam menilai tahap pencapaian sebenar pelajar.
“Saya mahukan sokongan perwakilan supaya perkara ini dimasukkan ke dalam MPN dan dilaksanakan sepenuhnya.
“Mandat ini perlu dibawa oleh YB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bagi pihak perwakilan,” katanya ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, seperti dilaporkan BH Online, semalam.
Terdahulu, KPM dilaporkan sedang mengkaji keperluan untuk memperkenalkan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, memaklumkan kajian berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam tahun ini selepas proses pelantikan ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) selesai.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menyuarakan sokongan terhadap cadangan mewujudkan akta khusus bagi melindungi guru, khususnya dalam aspek disiplin dan kebajikan.
Beliau berkata, perlindungan undang-undang amat penting memandangkan cabaran yang dihadapi warga pendidik ketika ini semakin berbeza berbanding dahulu.
“Dulu, bila guru merotan, ibu bapa pula tanya berapa kali kena. Sekarang, bila anak mengadu, ibu bapa pula mencari guru dan ada yang membuat laporan polis. Sebab itu guru-guru perlu diberi perlindungan sewajarnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








