UK kuatkuasa pengesahan umur akses laman lucah bermula hari ini
LONDON – United Kingdom melaksanakan peraturan ketat bagi mengawal akses ke laman web pornografi bermula hari ini sebagai pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian yang diluluskan pada 2023.
Melalui peraturan baharu itu, semua laman web yang menawarkan kandungan lucah kepada pengguna di UK diwajibkan memastikan pengguna berumur 18 tahun ke atas atau berdepan denda berat.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi UK (Ofcom), pelaksanaan peraturan itu bertujuan mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya buat kanak-kanak.
“Antara kaedah pengesahan umur yang dicadangkan termasuk menyerahkan maklumat kad kredit, gambar swafoto bersama dokumen pengenalan diri, pengesahan melalui rangkaian telefon bimbit atau menggunakan perkhidmatan pengesahan identiti digital,” katanya memetik laporan The Independent.
Ofcom memaklumkan kaedah tradisional seperti meminta pengguna mengesahkan umur secara manual tidak lagi dibenarkan kerana terlalu mudah dimanipulasi.
“Mana-mana laman yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda sehingga £18 juta (RM109 juta) atau 10 peratus daripada jumlah pendapatan global mereka,” katanya lagi.
Peraturan itu bukan sahaja terpakai kepada laman web lucah seperti Pornhub, tetapi juga platform media sosial seperti X (dulu dikenali sebagai Twitter), Reddit dan aplikasi janji temu seperti Grindr.
Terdapat kebimbangan dalam kalangan pengguna mengenai keselamatan maklumat peribadi yang diminta dalam proses pengesahan umur.
Beberapa penyedia perkhidmatan mendakwa hanya status usia akan disimpan tanpa menyimpan data lengkap pengguna, namun pengguna dinasihatkan supaya membaca terma dan syarat dengan teliti.
Dalam pada itu, wujud kemungkinan segelintir pengguna cuba mengelak sekatan tersebut dengan menggunakan perkhidmatan Rangkaian Peribadi Maya (VPN) yang membolehkan mereka melayari internet seolah-olah dari negara lain.
Terdapat juga kemungkinan beberapa laman web akan memilih untuk menyekat akses kepada pengguna dari UK sepenuhnya, seperti yang berlaku di beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Langkah iru dilihat sebagai satu usaha besar oleh kerajaan UK untuk menangani lambakan bahan lucah dalam talian dan melindungi generasi muda daripada terdedah kepada kandungan tidak sesuai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

