Tolak politik kebencian, perkukuh semangat perpaduan – Anwar
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia digesa menolak politik kebencian dan memperkukuh semangat perpaduan berasaskan nilai kemanusiaan serta keharmonian antara agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas asas perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan utama negara berbilang kaum dan agama ini.
“Kalau ada pun perbezaan, ia adalah perbezaan untuk memberi makna dan kefahaman yang lebih baik.
“Nilai seperti belas ihsan, kasih sayang dan hormat sesama manusia semakin terhakis di banyak negara akibat kecenderungan politik yang hanya mementingkan kepentingan praktikal serta kuasa.
“Namun, dalam semua agama termasuk Islam dan Buddha mengajar nilai keamanan, kasih sayang dan belas kasihan, namun mesej itu sering tenggelam akibat sentimen kebencian yang dimainkan pihak tertentu,” katanya kepada pemberita selepas hadir merasmikan Wacana Harmoni MADANI Sempena Sambutan Hari Wesak, di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengkritik segelintir pihak yang menggunakan sentimen kaum dan agama bagi menimbulkan rasa takut serta permusuhan.
“Majoriti rakyat Malaysia yang sederhana dan cintakan keamanan perlu tampil bersuara mempertahankan perpaduan negara daripada dikuasai kelompok ekstrem.
“Sudah sampai masanya majoriti rakyat bersuara dari hati nurani mereka untuk menyelamatkan negara dan memajukan semua rakyat bersama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















