LUAR NEGARA

Tiga maut pesawat ringan terhempas di Brazil

BELO HORIZONTE – Tiga individu disahkan maut selepas sebuah pesawat kecil yang membawa lima orang terhempas ke sebuah bangunan kediaman di bandar ini, semalam.

Menurut pihak bomba, juruterbang dan pembantu juruterbang maut di lokasi kejadian, manakala tiga penumpang berjaya diselamatkan dalam keadaan parah dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, kerajaan negeri Minas Gerais kemudian memaklumkan seorang daripada penumpang tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan, menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang.

Dua lagi mangsa dilaporkan masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Dalam kejadian itu, tiada penghuni bangunan dilaporkan cedera dan struktur bangunan tiga tingkat berkenaan tidak mengalami kerosakan serius.

Siasatan awal mendapati pesawat tersebut berlepas pada awal petang dari Lapangan Terbang Pampulha yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar Belo Horizonte, dengan destinasi ke Sao Paulo.

Namun, pesawat itu hanya berada di udara selama beberapa minit sebelum hilang kawalan dan terhempas ke bangunan kediaman berkenaan.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar nahas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button