Tiga eksekutif syarikat pertahanan Turkiye ditahan, disyaki jadi perisik kuasa asing
ANKARA – Pihak berkuasa Turkiye menahan tiga eksekutif kanan daripada syarikat pertahanan utama negara itu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengintipan untuk kuasa asing.
Pejabat Pendakwa Raya Istanbul dalam satu kenyataan memberitahu, operasi tersebut dijalankan semalam melibatkan empat individu yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan konspirasi berkenaan.
“Dalam operasi ini, tiga individu berjaya ditahan manakala seorang lagi masih bebas kerana berada di luar negara,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Kesemua suspek dipercayai memegang jawatan pengurusan dalam syarikat pertahanan utama Turkiye dan mereka dituduh cuba menyalurkan maklumat ‘biografi’ mengenai kakitangan pertahanan kepada negara luar.
Menurut laporan AFP, pejabat pendakwa raya pada mulanya menyatakan bahawa suspek bekerja untuk perkhidmatan risikan Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun kenyataan itu dipadam dan diganti dengan versi baharu di platform X tanpa menyebut mana-mana negara.
Penahanan itu berlaku ketika industri pertahanan Turkiye sedang berkembang pesat dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum ini mendedahkan bahawa eksport pertahanan negara melonjak 29 peratus pada 2024 kepada AS$7.15 bilion (RM29.5 bilion) yang didorong oleh kejayaan dron ketenteraannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















