BERITA SEMASADALAM NEGERI

Nilufer Education tawar peluang pengajian percuma di Turkiye

CYBERJAYA – Kos yang tinggi menjadi antara faktor impian untuk melanjutkan pengajian ke luar negara sesuatu yang agak sukar untuk dicapai, khususnya bagi keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Namun persepsi itu kini mempunyai ‘penyelesaiannya’ apabila Nilufer Education tampil menawarkan kos laluan pendidikan antarabangsa yang bukan sahaja berpatutan malah mampu digapai secara percuma.

Berita baik itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Nilufer Education, Hidayati Md Nor pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Nilufer Education bersama Study in Türkiye, City University Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) yang berlangsung di Cyberjaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, Nilufer Education menawarkan peluang kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke universiti bertaraf antarabangsa di Turkiye tanpa perlu memikirkan tekanan kewangan.

“Langkah baharu dalam memperluaskan akses pendidikan global kepada pelajar Malaysia ini adalah hasil kerjasama strategik dengan univerisiti di Turkiye dan yayasan-yayasan di dalam dan luar negara.

“Ini termasuk tawaran pengajian yang ditaja sepenuhnya oleh yayasan di Turkiye yang sememangnya terkenal dengan sistem wakaf pendidikannya,” katanya.+

Hidayati Md Nor menerima cenderahati dari Pengarah Operasi City University Malaysia, Mohd Syamsuri Shaari.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Study in Turkiye, Ahmed Darwish; Pengarah Operasi City University Malaysia, Mohd Syamsuri Shaari dan Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Nurul Amali Mohd Shamsudin.

Hidayati berkata, pendekatan yang diambil itu berteraskan realiti semasa, iaitu menyediakan peluang pendidikan berkualiti tinggi tanpa membebankan aspek kewangan khususnya ketika ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu.

Menurut beliau, antara kelebihan utama pengajian di Turkiye ialah kos yuran yang jauh lebih rendah berbanding negara Eropah lain, termasuk dalam bidang kritikal seperti kejuruteraan yang hanya memerlukan yuran sekitar RM5,000 setahun.

“Namun apa yang lebih penting, kualiti pendidikan tinggi di Turkiye setanding malah dalam sesetengah bidang lebih baik berbanding universiti di Eropah.

“Ini menjadikan Turkiye sebagai destinasi strategik bagi pelajar Malaysia yang ingin mendapatkan kelayakan bertaraf antarabangsa,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Study in Turkiye, Ahmed Darwish berucap pada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Nilufer Education bersama Study in Türkiye, City University Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) yang berlangsung di Cyberjaya, baru-baru ini.

Hidayati berkata, antara universiti yang terlibat dalam kerjasama itu termasuk Bursa Technical University, Hacettepe University, Istanbul Technical University dan Ankara University, selain beberapa institusi lain yang mempunyai reputasi kukuh dalam penyelidikan dan akademik.

Menurutnya, selain kos yang berpatutan, tempoh pengajian yang lebih singkat turut menjadi tarikan utama.

“Misalnya bagi peringkat ijazah, tempoh pengajian di Turkiye hanya sekitar dua tahun, membolehkan pelajar menamatkan pengajian lebih awal dan memasuki pasaran kerja dengan lebih cepat,” tambahnya.

Dalam usaha memastikan pelajar benar-benar bersedia, Nilufer Education turut menyediakan program persediaan dan penyesuaian akademik, termasuk laluan ‘alternatif’ kepada pelajar yang tidak memenuhi standard kemasukan universiti tertentu.

“Tidak semua pelajar gagal kerana kurang potensi, ada yang hanya memerlukan laluan yang sesuai. Nilufer Edution sedia membantu memadankan potensi pelajar dengan program dan universiti yang bersesuaian supaya mereka tidak tercicir,” jelas Hidayati.

Sementara itu katanya, Nilufer Education menyasarkan kemasukan seramai 500 pelajar Malaysia ke program tersebut pada tahun ini selain memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan dan yayasan tempatan bagi mengukuhkan lagi sokongan kewangan.

“Setakat ini, beberapa yayasan telah tampil menyediakan tajaan biasiswa, manakala sebahagian pelajar turut menerima pembiayaan penuh melalui yayasan di Turkiye, khususnya menerusi program wakaf pendidikan yang berakar sejak zaman Empayar Uthmaniyyah,” katanya.

Ditanya mengenai pengiktirafan dan akreditasi akademik, pelajar dan ibu bapa disarankan supaya tidak perlu bimbang kerana semua institusi pengajian tinggi di Turkiye, sama ada awam atau swasta, berdaftar di bawah Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye yang menjamin kualiti dan kelayakan sah.

Secara keseluruhannya, inisiatif yang diterajui Nilufer Education ini bukan sahaja membuka peluang baharu kepada pelajar Malaysia malah mencerminkan satu model pendidikan antarabangsa yang lebih mampan dan berorientasikan masa depan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button