LUAR NEGARA

Pesawat kargo tentera Turkiye terhempas, 20 anggota maut

TBILISI – Sebuah pesawat kargo tentera C-130 milik Turkiye dilaporkan terhempas di kawasan sempadan Georgia-Azerbaijan semasa dalam penerbangan pulang dari Azerbaijan.

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan Turkiye, pesawat itu membawa 20 anggota tentera termasuk kru penerbangan.

“Pesawat kami terhempas di sempadan Georgia-Azerbaijan. Operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan,” kata kenyataan tersebut.

Berdasarkan data daripada Flightradar24, pesawat C-130E itu terhempas pada pukul 2.49 petang waktu tempatan.

Tangkap layar video tular menunjukkan pesawat tersebut berpusing sebelum terhempas.

Pesawat yang menggunakan callsign TUAF543 itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ganja di Azerbaijan kira-kira 30 minit sebelum itu.

“Selepas berlepas, pesawat berpusing dan menempatkan dirinya pada laluan ke timur laut, melepasi Empangan Mingechevir di bawahnya.

“Semasa berada pada ketinggian 15,000 kaki, ia sekali lagi berpusing ke arah barat laut sebelum berpusing ke barat, melepasi sempadan Georgia,” menurut Flighradar24.

Rakaman video yang tular menunjukkan pesawat berpusing sebelum terhempas dan kepulan asap hitam tebal memenuhi ruang udara di lokasi kejadian.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menzahirkan kesedihan atas tragedi itu dan memaklumkan kerjasama sedang dijalankan dengan pihak berkuasa Georgia.

Data daripada Flightradar24 menunjukkan lokasi pesawat tersebut terhempas.

“Insya-Allah, kita akan menghadapi tragedi ini dengan baik. Semoga Allah merahmati roh para syuhada kita.

“Turkiye amat menghargai penyelarasan dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan Georgia serta pasukan kecemasan negara itu,” kata Erdogan.

Sementara itu, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev turut menyampaikan ucapan takziah kepada Turkiye atas tragedi tersebut.

Pihak berkuasa Georgia memaklumkan pesawat itu hilang dari radar beberapa minit selepas memasuki ruang udara negara itu tanpa menghantar isyarat kecemasan.

Pesawat C-130 Hercules buatan Lockheed Martin, Amerika Syarikat itu digunakan oleh Turkiye bagi misi logistik dan ketenteraan.

Duta Besar Amerika Syarikat ke Turkiye, Tom Barrack menyatakan di platform X bahawa beliau amat berdukacita atas nahas itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button