Tiada campur tangan, kerajaan hormati kebebasan media
KOTA KINABALU – Kerajaan tidak pernah mengarahkan mana-mana organisasi media untuk menapis atau mengawal liputan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media di Sabah dan seluruh negara bebas melaporkan aktiviti semua parti politik, termasuk parti pembangkang, bagi memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil dan telus.

“Sepanjang saya memegang jawatan Perdana Menteri, tidak pernah berlaku sebarang campur tangan terhadap media. Liputan kritikal yang disiarkan sejak awal kempen PRN17 membuktikan media masih beroperasi secara bebas tanpa tekanan,” katanya ketika menghadiri majlis Sarapan dan Sembang Santai Pengamal Media Sabah Bersama Perdana Menteri di sini, semalam.
Anwar turut menegaskan kerajaan menghormati kebebasan media sebagai elemen penting bagi menterjemah kempen yang sihat dan terbuka.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak melindungi mana-mana individu yang didakwa menggunakan kekayaan atau hubungan politik untuk mempengaruhi keputusan parti atau liputan media.
“Setiap dakwaan mesti disemak oleh pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pemimpin negeri sendiri, agar tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang,” katanya lagi.
Perdana Menteri turut berkata, media berperanan penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat dan menyifatkan semangat kebebasan media sebagai aset utama dalam memastikan demokrasi berfungsi dengan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








