HIBURAN

Tenement dinobatkan Filem Terbaik AIFFA 2025, Sweet Qismina raih Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik

KUCHING – Filem dari Kemboja, Tenement, diumumkan sebagai Filem Terbaik pada Asean International Film Festival and Awards (AIFFA 2025) yang berlangsung malam tadi di Pullman Kuching, Sarawak.

Kemenangan ini menjadikan Tenement unggul berbanding tujuh filem lain yang dicalonkan.

Antara filem lain yang bersaing bagi anugerah utama ialah Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam), Some Nights I Feel Like Walking (Filipina), Abang Adik (Malaysia), The Gospel of the Beast (Filipina), Crocodile Tears (Indonesia) dan Home Sweet Loan (Indonesia).

Tenement, sebuah filem seram yang diadaptasi daripada novel popular, menonjolkan penceritaan gelap serta elemen misteri yang berjaya memikat hati juri.

Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila membawa pulang tiga anugerah. Sweet Qismina meraih Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Babah, manakala Wu Kang Ren menerima salah satu daripada dua Pelakon Lelaki Terbaik bagi filem Abang Adik (anugerah satu lagi dimenangi Jomari Angeles untuk Some Nights I Feel Like Walking).

Selain itu, filem Tegkang turut menerima salah satu daripada dua Anugerah Khas Juri, dengan anugerah lain dimenangi filem Brunei, Waiters.

Kategori lain yang diumumkan termasuk Skrip Terbaik dimenangi The Gospel of the Beast, manakala Penyuntingan Filem Terbaik diberikan kepada Inside the Yellow Cocoon Shell.

Sinematografi Terbaik dimenangi Some Nights I Feel Like Walking.

Bagi kategori individu, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik diberikan kepada Ronnie Lazaro dari Filipina bagi filem The Gospel of the Beast, manakala Pelakon Wanita Terbaik diraih Yunita Siregar dari Indonesia bagi filem Home Sweet Loan.

Pengarah Terbaik menjadi milik pengarah Vietnam, Pham Thien Ann, melalui Inside the Yellow Cocoon Shell.

Majlis malam gala AIFFA 2025 turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyampaikan Anugerah Pencapaian Seumur Hidup kepada pengarah terkenal Filipina, Lav Diaz, sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau kepada dunia perfileman Asean.

Turut hadir ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; serta legenda filem Hong Kong, Simon Yam, yang menerima Anugerah Inspirasi Asean.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button