Teksi EV dengan penukaran bateri diperkenalkan, 3,000 unit beroperasi menjelang Ogos
KAJANG –Industri teksi dan e-hailing yang menggunakan kenderaan elektrik (EV) di negara ini bakal menyaksikan transformasi besar melalui pengenalan sistem penukaran bateri automatik yang boleh dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Inisiatif yang dilancar oleh Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan strategik iaitu EV Auto Works Sdn. Bhd., Voltgem Energies Sdn. Bhd., GV Car Import Sdn. Bhd. serta Alirantek (M) Sdn. Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif GV Ride, Kabeer Maand berkata, inisiatif berkenaan bertujuan mempercepatkan peralihan industri teksi dan e-hailing kepada penggunaan EV sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil.
Katanya, penggunaan sistem penukaran bateri automatik yang dibangunkan Voltgem Energies mampu mengubah landskap operasi pengangkutan awam dengan mengurangkan masa henti kenderaan.
“Teknologi ini membolehkan bateri ditukar dalam tempoh singkat di stesen khas tanpa perlu menunggu pengecasan, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi. Ia juga membantu pemandu menjana pendapatan lebih stabil kerana masa di jalan raya dapat dimaksimumkan,” katanya.

Majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara EV Auto Work, Voltgem Energies, GV Car Import dan Alirantek di Ibu pejabat GV Car Import, Taman Asa Jaya di sini, semalam.Menurut beliau, inisiatif itu turut dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang dalam menangani peningkatan kos bahan api yang semakin membebankan pemain industri.
Beliau berkata, pelaksanaan sistem baharu itu dijangka bermula dengan penglibatan kira-kira 3,000 teksi EV selepas separuh kedua tahun ini, tertakluk kepada kelulusan berkaitan termasuk pelepasan kenderaan yang kini masih di pelabuhan.
Sementara itu, Presiden GTSM, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pakej komprehensif ditawarkan kepada pemandu termasuk penggunaan sistem penukaran bateri secara percuma selama setahun, sewaan kenderaan serendah RM80 sehari serta penyelenggaraan penuh termasuk komponen haus dan lusuh.
“Pemandu juga akan menikmati jaminan bateri, perlindungan insurans serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.
Dalam perkembangan sama, semua kenderaan yang diperkenalkan mematuhi piawaian keselamatan ASEAN NCAP dan direka khusus untuk kegunaan pengangkutan awam profesional.
Kerjasama itu turut merangkumi pembangunan projek pemasangan tempatan EV secara Completely Knocked Down (CKD) bagi memberi tumpuan kepada pengeluaran kenderaan EV dengan teknologi penukaran bateri di Malaysia.
“Inisiatif ini bukan sahaja mengurangkan kos kenderaan, malah membuka ruang kepada pemindahan teknologi serta mengukuhkan ekosistem industri EV tempatan.
“Kami menyasarkan Malaysia muncul sebagai hab pembangunan teknologi EV berasaskan sistem penukaran bateri di peringkat ASEAN,” katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut dijangka memberi impak jangka panjang termasuk mempercepatkan peralihan kepada mobiliti elektrik, mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil serta mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih pintar dan mesra alam.
Di samping itu, beliau turut berharap kerajaan dapat meneliti semula isu permit teksi yang menjadi kekangan utama ketika ini, selain membantu mengurangkan birokrasi bagi memastikan pelaksanaan projek dapat dipercepatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





