Tapak sampah haram di Dengkil: Hampir setiap minggu pelaku ditahan namun dalang masih belum berjaya dikesan
SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MP Sepang) memandang serius isu kewujudan tapak pelupusan sampah haram di Dengkil di sini yang telah memberi kesan langsung terhadap kesihatan awam, ekosistem setempat dan mutu hidup penduduk.
Timbalan Yang Dipertua MP Sepang, Muhammad Shah Osmin berkata, sehingga Jun tahun ini pihaknya mengesan sebanyak 13 lokasi sampah haram yang masih aktif manakala sembilan tapak sampah haram telah berjaya ditutup sepenuhnya.
Beliau berkata, kewujudan tapak pelupusan sampah secara haram tersebut berpunca daripada sikap kontraktor yang cenderung mengambil jalan singkat demi mengaut keuntungan mudah.
“Kegiatan tidak bertanggungjawab didalangi oleh pelaku yang diupah oleh pengurusan kilang dan tapak pembinaan itu dikesan semakin berani kerana tidak menghiraukan tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak majlis.
“Tindakan penguatkuasaan iaitu sitaan terhadap lori-lori yang terlibat dalam aktiviti ini juga dilaksanakan melalui rondaan berkala oleh Jabatan Penguatkuasaan secara berterusan.
“Hampir setiap minggu kita menangkap orang yang melakukan pembuangan sampah secara haram, tetapi untuk memberkas dalang kegiatan ini sebenarnya amat mencabar kerana wujud keperluan proses pembuktian bagi tujuan pendakwaan dan tindakan perundangan,” katanya di sini hari ini.

merasmikan Mesyuarat Penuh Ahli-ahli Majlis MP Sepang di sini.
Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Penuh Ahli-ahli Majlis MP Sepang di sini.
Mengulas lanjut katanya, sehingga Jun ini, pihaknya telah membuat sebanyak 50 sitaan lori dan mengeluarkan 70 kompaun terhadap pelaku.
Katanya, kompaun dan sitaan maksimum sebanyak RM 2,000 akan dikenakan kepada setiap lori yang disita.
“Justeru, dalam usaha untuk membendung pembuangan sampah haram di kalangan pihak yang tidak bertanggungjawab saya ingin memohon kepada orang awam untuk tampil memberi maklumat berhubung perkara ini.

“Pelbagai usaha akan giat dijalankan untuk membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram secara komprehensif bersama agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi-agensi lain.
“MP Sepang turut memasang sebanyak 7 tujuh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi “hot spot” sampah haram untuk memantau dan membawa pesalah ke muka pengadilan.
“MP Sepang memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam usaha menangani isu sampah haram ini untuk memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada masyarakat,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








