Suspek serang kanak-kanak di Bukit Sentosa direman empat hari
HULU SELANGOR – Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian menyerang dan memukul seorang kanak-kanak perempuan di Bukit Sentosa, di sini semalam, direman selama empat hari sehingga 2 Februari bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bermula hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Jika sabit kesalahan, hukuman bagi kesalahan pertama ialah penjara sehingga tiga tahun atau sebatan atau kedua-duanya dan kesalahan kedua hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ibrahim mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang ditarik oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berjalan bersama kakak dan abangnya untuk ke pasar malam di Jalan Bakawali.
Menurutnya, laporan diterima daripada seorang wanita tempatan pukul 8 malam semalam dan susulan kejadian, suspek lelaki tempatan berusia 23 tahun yang juga penganggur telah ditahan.
“Individu terbabit dipercayai memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga mengakibatkan kecederaan.
“Polis Hulu Selangor melalui Balai Polis Bukit Sentosa berjaya menahan suspek lelaki tempatan di rumahnya di kawasan Bukit Sentosa,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihaknya memandang serius kejadian sedemikian dan percaya penangkapan suspek berjaya menyelesaikan kes di Hulu Selangor, selain meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap usaha polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



