LUAR NEGARA

Suspek kes tembak Bondi Beach dituduh lakukan keganasan, pembunuhan

SYDNEY – Suspek insiden tembakan di Bondi Beach, Ahad lalu didakwa di mahkamah hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk melakukan keganasan dan membunuh.

Selain berdepan 15 tuduhan membunuh, tertuduh, Naveed Akram, 24, turut didakwa atas 40 pertuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan niat membunuh, selain kesalahan mempamerkan secara terbuka simbol organisasi pengganas yang diharamkan, lapor AFP.

Polis Negeri New South Wales dalam satu kenyataan berkata, polis akan berhujah di mahkamah bahawa tertuduh terbabit dalam perbuatan yang mengakibatkan kematian, kecederaan parah serta membahayakan nyawa dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

“Kemungkinan awal menunjukkan serangan itu adalah tindakan keganasan yang diilhamkan oleh Daesh, sebuah organisasi pengganas yang diharamkan di Australia,” katanya.

Sebelum ini, Naveed dilaporkan cedera parah selepas ditembak polis semasa kejadian.

Media tempatan kemudiannya melaporkan tertuduh sedar daripada koma semalam.

Seorang lagi suspek, Sajid Akram yang juga bapa Naveed, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis.

Dua bendera buatan sendiri berkaitan Daesh ditemukan dalam sebuah kereta yang didaftarkan atas nama Naveed dan diletakkan berhampiran pantai.

Naveed kini masih menerima rawatan di hospital dan dihadapkan ke mahkamah melalui pautan audio visual, hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button