“Suapan terakhir abang” – petanda sebelum tragedi Sungai Korok
JITRA – Nur Adliah Syuhada Ishak, adik kepada Allahyarham Mohamad Azim Izat yang terkorban dalam nahas kereta terjunam di Sungai korok dekat sini, tidak menyangka suapan nasi oleh abangnya menjadi petanda dan juga pertemuan terakhir mereka.
Nur Adliah Syuhada, 26, berkata, kenangan tersebut hanya ‘disedari’ selepas kemalangan yang mengorbankan abang, kakak ipar dan empat orang anak saudaranya berlaku.
“Walaupun kami memang sangat rapat dan saya manja dengan abang, biasanya dia tidak buat begitu. Tapi malam sebelum kejadian dia suap saya makan nasi,” katanya.
Nur Adliah berkata, hubungan kekeluarga mereka sangat rapat sehingga dipanggil ‘mama’ oleh anak saudaranya itu.
Selain perubahan sikap yang disifatkan sebagai petanda itu, Nur Adliah juga meluahkan rasa sedih kerana abangnya ada menyuarakan rasa mengantuk sebelum keluar pada awal pagi untuk pulang ke rumahnya di Jerlun.
Katanya, perkara itu menyebabkan dia rasa tidak sedap hati malah telah menasihatkan Allahyarham yang bekerja sebagai pengawal keselamatan supaya tidur dahulu.
“Kami memang dah rasa tak sedap hati bila abang dan kakak ipar kata mereka mengantuk malam sebelum kejadian. Sebab itu saya minta mereka tidur di rumah saya dulum,” katanya.
Dalam kejadian malam semalam, Mohamad Azim dan isteri, Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka iaitu Putra Rayyan Nur Izat, 9; Hawa Adriana, 8; Anayla Huma’ira, 7; dan Tuah Haydar, 6 bulan maut apabila kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai.
Kejadian itu disedari orang ramai selepas sebahagian daripada bahagian kereta Proton Iswara dipandu Mohamad Azim timbul di permukaan air pagi tadi.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang selepas bermalam di rumah Nur Adliah di Taman Sri Aman, di sini.
Dalam kejadian itu, anak sulung pasangan itu, Putri Qisya, 12, terselamat kerana tidak mengikuti mereka ke rumah Adliah malam kejadian dan berada di rumah neneknya di Jerlun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




