BERITA SEMASAINISIATIF KERAJAANPMX

STR Fasa 4 diawalkan, 8.8 juta penerima terima bayaran mulai esok

PUTRAJAYA – Orang ramai akan mula menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2025 Fasa 4 mulai esok, iaitu lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan bulan depan, sempena sambutan Deepavali.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini, berkata sebanyak RM2 bilion diperuntukkan melibatkan 8.8 juta penerima seluruh negara dengan kadar antara RM100 hingga RM700 bergantung kepada kategori penerima.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah mempercepatkan pembayaran itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan bantuan kewangan sampai kepada rakyat tepat pada masanya.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI bertekad untuk memastikan bantuan membabitkan agihan limpahan negara ini dimanfaatkan segenap lapisan rakyat.

“Diharapkan penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : SARA RM100 untuk 22 juta rakyat, legakan beban menjelang Ramadan dan Tahun Baru Cina

Katanya, pembayaran Fasa 4 turut merangkumi 200,000 pemohon baharu yang diluluskan bagi STR 2025, dengan penyaluran kepada kumpulan ini dijadualkan bermula 13 November ini.

Jumlah penerima keseluruhan juga meningkat 500,000 individu dan isi rumah berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 Januari lalu, hasil pelaksanaan dasar baharu kerajaan yang membenarkan permohonan serta rayuan STR dibuka sepanjang tahun.

“Bagi pembayaran kali ini, penerima yang mempunyai akaun bank akan menerima bayaran secara terus dikreditkan ke akaun masing-masing antara 18 hingga 24 Oktober, manakala penerima tanpa akaun bank termasuk di Sabah, Sarawak dan Labuan, boleh menuntut bayaran tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai Selasa ini,” katanya.

Selain itu, kategori penerima STR Fasa 4 dalam kalangan isi rumah berpendapatan RM2,500 ke bawah seramai 3.1 juta orang akan menerima antara RM200 hingga RM700.

Sebanyak sejuta isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000 akan menerima bantuan antara RM100 hingga RM350, manakala
seramai 1.3 juta warga emas tanpa pasangan akan menerima RM150, manakala kategori bujang melibatkan 3.4 juta orang turut menerima RM150.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button