Steven Sim ziarah anak angkat, tawar Putri latihan industri di KUSKOP
KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim meluangkan masa menziarahi anak angkatnya, Putri yang baru keluar dari hospital, selain menyatakan rasa bangga terhadap kegigihan pelajar itu menempuh cabaran hidup dan kesihatan.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, beliau berkata, Putri merupakan anak angkatnya sejak pelajar itu mengikuti pengajian diploma di Universiti Teknologi MARA dan kini hampir menamatkan pengajian ijazah di Universiti Malaya (UM).
Menurutnya, Putri baru-baru ini menjalani pembedahan susulan masalah kesihatan dan masih perlu mengambil ubat secara berterusan, dengan kos rawatan mencecah kira-kira RM250 sebulan.
“Saya akan tanggung kos ubat-ubatan beliau selama setahun dan lihat perkembangan kesihatannya selepas ini,” katanya.
Steven turut memaklumkan sebelum ini beliau membantu menampung sebahagian kos perubatan Putri, namun tidak berkesempatan menziarahinya di hospital kerana kekangan jadual kerja.
Beliau berkata, Putri merupakan antara anak angkat yang amat dibanggakan kerana tetap cemerlang dalam akademik walaupun berdepan kesukaran hidup, termasuk ibu bapanya yang turut menghidap penyakit kronik.
“Kalau orang lain yang diuji begitu berat mungkin dah give up. Tapi Putri tak pernah mengalah.
“Dia tau ayah dan ibu sangat susah, jadi dia kerja part-time. Dia study bersungguh-sungguh sampai dapat Anugerah Naib Canselor ketika buat diploma dan kini dah tiga kali dapat hadiah Dekan di UM,” tulisnya.
Dalam kunjungan itu, Putri turut menunjukkan komputer riba yang pernah dihadiahkan oleh Steven yang masih digunakan bagi tujuan pembelajaran.
Sehubungan itu, Steven turut menawarkan peluang latihan industri kepada Putri di kementeriannya berdasarkan pencapaian akademik cemerlang yang ditunjukkan.
“Bukan sebab dia anak angkat saya, tapi dia punya keputusan kat UM sangat bagus.
“Tengok macam mana keadaan kesihatan Putri selepas ini. Saya juga serah sikit belanja buat raya nanti.
“Kita semua doakan agar dipermudahkan segala urusan keluarga mereka. Jalan Teruih Putri, you can do it!” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






