Standard Chartered, Pertiwi jayakan agihan makanan Ramadan & Syawal untuk B40
BERSEMPENA Syawal yang bakal menjelang, institusi perbankan Standard Chartered dengan kerjasama Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Pertiwi (Pertiwi) telah mengagihkan 300 beg barangan dapur kepada keluarga golongan B40 di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur.
Ketua Jenama, Penajaan, Impak dan Penglibatan Komuniti Standard Chartered, Mastura Adnan berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif filantropi bank tersebut yang telah menjalin kerjasama lebih 10 tahun bersama Pertiwi dalam membantu masyarakat yang memerlukan.

“Kami berbesar hati untuk memberi bantuan raya kepada keluarga B40 di Kuala Lumpur. Pek makanan yang diagihkan ini adalah hasil sumbangan staf Standard Chartered sendiri.
“Lebih istimewa, mereka turut menyelitkan kad ucapan kepada keluarga yang menerima bantuan sebagai tanda penghargaan buat mereka,” kata Mastura kepada Malaysia Tribune.
Program tersebut menyaksikan penyediaan sebanyak 1.5 tan beras, setengah tan gula serta barangan lain seperti Milo, susu, nasi impit dan minyak masak untuk memastikan keperluan asas penerima bantuan dapat dipenuhi. Secara keseluruhan, setiap beg mengandungi barangan seberat 12 kilogram.
Tambah Mastura, inisiatif itu bukan sekadar tertumpu kepada bulan Ramadan dan Syawal, malah merupakan sebahagian daripada program jangka panjang Standard Chartered melalui kempen Do Good pada setiap musim perayaan.

“Kami berusaha untuk merangkumi semua perayaan, bukan hanya Aidilfitri. Setiap kali program sebegini dibuat, kami akan menyediakan 300 hingga 500 bungkusan makanan melalui sumbangan kakitangan,” ujar beliau.
Seramai 20 orang staf Standard Chartered telah turun padang untuk menyampaikan bantuan tersebut pagi tadi.
Ini kerana budaya kesukarelawanan merupakan sebahagian daripada nilai korporat bank tersebut.
“Selain membantu komuniti yang memerlukan, kami juga terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti pembersihan pantai dan program kemasyarakatan lain,” katanya lagi.
Sebagai bank tertua yang beroperasi di Malaysia, Standard Chartered mempunyai sejarah lebih 150 tahun sejak penubuhan cawangannya yang pertama di Pulau Pinang pada tahun 1875.
“Kami bangga menjadi institusi kewangan yang mudah diakses oleh masyarakat,” ungkapnya.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pertiwi, Laili Ismail melahirkan rasa gembira dengan kesetiaan institusi perbankan tersebut bekerjasama dengan pihaknya bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Sebagai NGO yang bertanggungjawab menyantuni gelandangan dan orang susah, saya sangat menghargai komitmen jangka panjang Standard Chartered dalam projek kebajikan sebegini.
“Saya harap lebih ramai syarikat korporat, individu dan masyarakat di luar sana tampil membantu golongan susah dan memerlukan,” katanya.

Menurut Laili, pihaknya mengagihkan barangan tersebut melalui senarai keluarga B40 yang telah berdaftar dengan Pertiwi sebelum ini.
“Kesemua yang datang merupakan individu yang menetap di sekitar Kuala Lumpur, terdiri daripada rakyat Malaysia dan warga asing yang telah menjadi pemaustatin tetap di negara ini.
“Selain itu, golongan penerima bukan sekadar mereka yang beragama Islam, tetapi juga kepada penganut agama lain yang layak,” jelasnya.

Program tersebut bermula sekitar pukul 8 pagi dengan aktiviti membungkus barangan dapur ke dalam beg bersaiz besar oleh kakitangan Standard Chartered dan sukarelawan Pertiwi.
Agihan barangan tersebut berakhir pada pukul 10.30 pagi.
Sejurus majlis tamat, beberapa gelandangan yang menetap di pusat tersebut, terus memainkan peranan masing-masing dalam membersihkan semula kawasan termasuk menyapu, mop lantai dan sebagainya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







