BERITA SEMASA

SPRM buka semula siasatan kes rasuah RM8 juta selepas nilai semula jejak kewangan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula siasatan berhubung kes rasuah RM8 juta yang didakwa berlaku pada 2012 susulan penilaian semula risikan dan jejak kewangan berkaitan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, suruhanjaya itu sentiasa meneliti maklumat berkaitan kesalahan rasuah tanpa mengira tempoh masa kejadian.

Menurutnya, siasatan terbaharu itu dimulakan selepas pihaknya mendapati terdapat maklumat dan jejak kewangan yang memerlukan penelitian lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta undang-undang berkaitan.

“SPRM sentiasa menyemak dan menilai maklumat yang diterima. Dalam kes ini, penilaian semula mendapati wujud keperluan untuk siasatan lanjut,” memetik NST online.

Perkembangan itu menyusul penahanan seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi berusia 50-an yang disyaki menawarkan rasuah RM8 juta kepada presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan sebuah bank bagi mendapatkan kelulusan pinjaman RM400 juta.

Mohamad Zamri berkata, siasatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas dan berterusan untuk meneliti transaksi kewangan serta aktiviti korporat yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan sama ada siasatan itu dicetuskan oleh bukti baharu, maklumat pemberi maklumat atau hasil siasatan selari agensi lain kerana bimbang ia boleh menjejaskan proses penyiasatan.

“Kes ini masih dalam siasatan aktif dan berkemungkinan dibawa ke mahkamah, justeru butiran lanjut termasuk transaksi kewangan tidak dapat didedahkan buat masa ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli perniagaan, Ranjeet Singh Sidhu sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memberi rasuah RM8 juta kepada bekas presiden sebuah bank berhubung projek rangkaian gentian optik pesisir pantai bernilai RM400 juta, kira-kira 14 tahun lalu.

Tertuduh berusia 56 tahun itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim.

SPRM turut memaklumkan pihaknya sedang mengesan rakan niaga individu berkenaan yang dipercayai berada di Australia bagi membantu siasatan, selain bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terbabit.

Pada masa sama, suruhanjaya itu sedang menjalankan analisis forensik terperinci bagi mengesan pergerakan dana, perantara serta kemungkinan aktiviti ‘layering’ yang dikaitkan dengan skim rasuah berkenaan.

SPRM turut menegaskan usaha mengesan dan mendapatkan semula aset yang dipercayai diperoleh daripada hasil kegiatan haram sedang dijalankan termasuk melibatkan aset di dalam dan luar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button