BERITA SEMASA

Singgah angkat semangat perpaduan Gawai, Kaamatan dalam sentuhan sinematik menyentuh hati

SAMBUTAN Hari Gawai dan Pesta Kaamatan tahun ini diraikan dengan pendekatan lebih dekat di hati menerusi penghasilan sebuah filem pendek berjudul Singgah, yang mengetengahkan nilai perpaduan, kasih sayang dan kebersamaan rakyat Malaysia dalam kepelbagaian budaya.

Diterbitkan sempena sambutan perayaan budaya terbesar masyarakat Sabah dan Sarawak, filem pendek itu tampil dengan naratif sederhana namun penuh emosi.

Mengangkat kisah seorang wanita yang terkandas di perantauan tetapi akhirnya menemui makna sebenar sebuah keluarga dalam masyarakat majmuk Malaysia, filem pendek itu menampilkan kelainan menerusi gandingan pelakon muda berbakat Muhammad Mokhtar Iskandarsyah yang memegang watak utama sebagai Daniel, seorang pemuda kampung yang menjadi penghubung kepada perjalanan emosi watak Melina.

Turut membintangi karya tersebut ialah Kueh Mei Fung, Nurfatin Zulmisya Zulhazmi, Vallyssa Vallery Henry, Carvinnia Elzavina, Sindu Ramasundran, Dexter Lim Zhen Qin dan Abdul Rahman Lee. Selain itu, model dan pelakon baharu Mohammad Eusoff Abu Talib turut membuat penampilan khas sebagai cameo, sekali gus menyerlahkan lagi elemen silang budaya yang menjadi tunjang utama karya berkenaan.

Berlatarkan suasana desa yang damai, Singgah membuka cerita dengan perjalanan Melina yang terkandas di kawasan sawah selepas keretanya rosak ketika dalam perjalanan pulang menyambut Gawai bersama keluarga di Sarawak. Dalam keadaan panik dan keseorangan, Melina dibantu Daniel sebelum dipertemukan dengan sebuah komuniti kecil yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar budaya. Dari situ, jalan cerita berkembang menjadi sebuah kisah penuh nilai kemanusiaan apabila Melina “menumpang singgah” di rumah Kak Lidia sementara menunggu keretanya dibaiki.

Mokhtar
Muhammad Mokhtar Iskandarsyah yang memegang watak sebagai Danial dalam Singgah

Namun singgahan yang sepatutnya sementara itu akhirnya membuka ruang kepada sebuah hubungan yang lebih besar yang mana hubungan sebagai rakyat Malaysia yang saling memahami dan meraikan antara satu sama lain. Antara kekuatan utama filem ini ialah penggunaan dialog pelbagai dialek termasuk Sabah dan Sarawak yang memberi rasa autentik kepada keseluruhan penceritaan.

Penonton turut disajikan dengan elemen budaya seperti makanan tradisional, tarian Sumazau dan Ngajat serta suasana persiapan sambutan Gawai dan Kaamatan yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat Borneo. Malah, antara babak paling menyentuh hati ialah ketika watak Kak Lidia menyuapkan makanan kepada Melina sambil berkata bahawa rumah mereka tidak pernah sunyi setiap kali musim perayaan. Babak itu memperlihatkan bagaimana sebuah keluarga tidak semestinya terikat dengan pertalian darah, tetapi juga melalui rasa hormat dan kasih sesama insan. Dialog seperti “Dalam setiap perayaan, terjalin kebersamaan yang mengeratkan kita sebagai satu keluarga besar” menjadi inti pati utama filem ini, selari dengan mesej ‘Faham, Hormat, Terima dan Meraikan’ yang diterapkan sepanjang penceritaan.

Mokhtar
Lakonan bersahaja Muhammad Mokhtar (kiri) sebagai Danial dan kemunculan Eusoff (kanan) sebagai watak cameo berjaya menghidupkan filem pendek Singgah.

Lakonan bersahaja Muhammad Mokhtar sebagai Daniel turut mencuri perhatian apabila berjaya membawakan karakter pemuda sederhana yang penuh empati dan keikhlasan. Kehadirannya menjadi simbol kepada generasi muda yang melihat kepelbagaian bukan sebagai perbezaan, sebaliknya sebagai kekuatan negara.

Dalam masa sama, chemistry antara barisan pelakon pelbagai kaum dan latar budaya berjaya diterjemahkan secara natural tanpa kelihatan dipaksa, menjadikan Singgah lebih dekat dengan realiti kehidupan masyarakat Malaysia hari ini. Dari sudut visual pula, filem pendek ini memanfaatkan keindahan panorama sawah dan suasana kampung bagi memberi nuansa tenang serta nostalgia kepada penonton.

Penggunaan tona sinematik hangat dan gerakan kamera yang lembut membantu menghidupkan emosi setiap babak, terutama ketika adegan makan bersama dan tarian budaya berlangsung.

Walaupun berdurasi pendek, Singgah berjaya menyampaikan mesej besar tentang perpaduan menerusi pendekatan ringan dan mudah difahami semua lapisan masyarakat. Ia bukan sekadar filem perayaan, tetapi sebuah refleksi tentang realiti rakyat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya, bahasa dan kepercayaan. Kemunculan karya seperti Singgah juga membuktikan bahawa filem pendek tempatan mampu menjadi medium penting dalam membina persefahaman sosial serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Lebih menarik, filem ini tidak terlalu bergantung kepada konflik berat atau drama berlebihan, sebaliknya memilih untuk menyentuh emosi penonton melalui momen-momen kecil yang dekat dengan kehidupan harian.

Kesederhanaan itulah yang menjadikan Singgah lebih jujur dan berkesan. Dengan gabungan elemen budaya, emosi dan kemanusiaan, Singgah dilihat sebagai sebuah naskhah yang bukan sahaja meraikan Gawai dan Kaamatan, malah turut meraikan makna sebenar menjadi rakyat Malaysia yang saling menerima, menghormati dan sentiasa ada untuk satu sama lain, walaupun hanya “singgah sebentar”.

Filem pendek ini boleh ditonton di secara atas talian di media-media sosial Aaron Ago Dagang, Kementerian Perpaduan Negara dan agensi-agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara bermula Jumaat ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button