Saya akan buktikan saya tidak bersalah – Shamsul Iskandar
KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyatakan kesediaan untuk membersihkan namanya daripada empat pertuduhan rasuah yang dihadapinya hari ini.
Dalam sidang media selepas prosiding mahkamah, Shamsul Iskandar yang dilepaskan dengan jaminan mengucapkan terima kasih kepada peguam dan sahabat yang hadir memberi sokongan serta doa.
“InsyaAllah, saya akan membuktikan diri tidak bersalah. Kita akan ikut jalur hukum dan proses mahkamah kerana sejak awal saya mengambil sikap proaktif dan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM untuk menyelesaikan siasatan dan membersihkan nama saya,” katanya.
Terdahulu, Shamsul Iskandar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat tuduhan rasuah berjumlah RM176,829.03 berhubung kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah, memaklumkan mahkamah telah membenarkan tertuduh diikat jamin RM150,000 dengan dua penjamin dan tiga syarat tambahan, termasuk penyerahan pasport, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada Januari depan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan kes.
Amir menambah, Shamsul Iskandar sentiasa mengekalkan prinsipnya bahawa beliau tidak bersalah dan telah membuat laporan polis bagi membersihkan tomahan yang dilemparkan kepadanya serta Perdana Menteri sebelum ini.
Beliau turut menekankan bahawa kes ini baru bermula dan sebarang spekulasi tidak perlu dibesar-besarkan.
Sementara itu, Shamsul Iskandar menegaskan, beliau akan terus bekerjasama sepenuhnya dan menggunakan saluran undang-undang bagi menegakkan kebenaran, sambil menggesa masyarakat untuk memberi ruang dan sokongan moral sepanjang proses mahkamah berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








