Selangor peruntuk RM3.23 bilion tahun depan, utamakan kebajikan dan peluang pekerjaan
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM3.23 bilion dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan hasil negeri, kesinambungan pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, belanjawan berkenaan disusun berasaskan prinsip ketahanan dan kebertanggungjawaban fiskal bagi memastikan Selangor terus kekal sebagai negeri peneraju ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, unjuran semasa menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor bagi 2025 dijangka mencecah RM455.3 bilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara.
Menurut Amirudin, anggaran hasil negeri bagi 2026 adalah RM2.8 bilion, manakala perbelanjaan berjumlah RM3.23 bilion menyebabkan belanjawan berada dalam keadaan defisit RM430 juta.
“Sefisit itu bagaimanapun dapat ditampung sepenuhnya melalui Akaun Hasil Disatukan berikutan kedudukan kewangan negeri yang stabil dengan rizab mencecah RM4.8 bilion setakat 12 November 2025,” katanya lagi.
Beliau turut berkata perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.37 bilion membuktikan komitmen kerajaan negeri memperkukuh sektor sosial, pendidikan, kebajikan dan peluang pekerjaan, selain meneruskan projek infrastruktur strategik yang mampu memacu pertumbuhan jangka panjang.
Perbelanjaan mengurus pula berjumlah RM1.86 bilion yang meliputi emolumen, perkhidmatan, aset dan pemberian tetap.
Amirudin berkata, belanjawan Selangor 2026 berpaksikan aspirasi “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera” sebagai asas memastikan setiap pembangunan negeri terus memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








