Selangor perkukuh pembangunan modal insan, lancar Bengkel Selangor Career Launchpad 2025
KUALA SELANGOR – Kerajaan Negeri Selangor komited dalam membangunkan ekosistem kerjaya yang lebih menyeluruh dan inklusif bagi rakyat pelbagai latar belakang melalui penganjuran Bengkel Pembangunan Kerjaya: Selangor Career Launchpad 2025.
EXCO Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, Papparaidu Veraman berkata, usaha itu termasuk memperkasa tenaga kerja masa depan dan memastikan rakyat Selangor kekal berdaya saing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar sesi latihan, sebaliknya satu platform bimbingan terancang yang menyediakan pemahaman pasaran kerja, pendedahan melalui MyFutureJobs Career Launchpad serta sokongan padanan pekerjaan yang tepat kepada peserta.
“Pasaran kerja hari ini menuntut lebih daripada sekadar kelayakan akademik. Ia memerlukan kompetensi, keyakinan, kemahiran insaniah dan kesediaan untuk terus belajar.
“Bengkel seperti ini amat penting untuk membantu peserta memahami kehendak industri dan menyediakan diri dengan kemahiran relevan,” katanya selepas merasmikan bengkel tersebut di STDC Kuala Selangor, di sini hari ini.
Menurutnya, kerjasama erat antara STDC, PERKESO Selangor dan Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia Negeri membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan tiada rakyat Selangor tercicir dalam proses peningkatan kerjaya.
Beliau turut menekankan bahawa program Selangor Career Launchpad dirangka bagi menyokong graduan, pencari kerja aktif serta individu yang ingin meningkatkan mobiliti kerjaya melalui bimbingan profesional dan analisis pasaran kerja yang lebih tepat.

“Setiap individu yang berjaya mendapat pekerjaan stabil dan berpendapatan baik bukan sahaja mengubah hidup mereka, tetapi turut menyumbang kepada ekonomi negeri.
“Inilah sebabnya pembangunan modal insan menjadi agenda penting kerajaan negeri,” katanya.
Dalam ucapan itu juga, beliau menyeru peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan, tidak segan bertanya dan aktif mendapatkan nasihat kerjaya sepanjang bengkel berlangsung.
Kerajaan Negeri katanya, akan terus memperluaskan platform latihan, peningkatan kemahiran dan sokongan kerjaya sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor.
Majlis turut dihadiri wakil STDC, PERKESO Selangor, UPPS, UPEN serta peserta bengkel yang terdiri daripada graduan dan pencari kerja pelbagai latar belakang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





