Selangor teliti cadangan haramkan penjualan vape secara menyeluruh dan inklusif
SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan meneliti cadangan pengharaman penjualan rokok elektronik (vape) di negeri ini secara menyeluruh dan inklusif.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, satu mesyuarat bersepadu dalam masa terdekat bagi akan dilaksanakan bagi membincangkan perkara tersebut.
“Kita sedang meneliti secara menyeluruh keperluan untuk mengharamkan penjualan vape di Selangor.

“Perbincangan itu akan melibatkan Pejabat Datuk Menteri Besar, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkepentingan daripada kerajaan persekutuan dan negeri.
“Tindakan itu susulan saranan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay serta kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari baru-baru ini,” kata Jamaliah dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri mengambil serius isu tersebut dan akan memastikan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.
Menurut beliau, di peringkat persekutuan, kawal selia berkaitan rokok elektronik adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) dan JKNS.
Ia termasuklah kawalan terhadap pendaftaran produk, pelabelan, pembungkusan, penjualan dan penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan vape – seperti termaktub di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].
“Sementara itu, lesen perniagaan di bawah kerajaan negeri dikawal selia oleh PBT dan buat masa ini lesen yang dikeluarkan adalah khusus untuk peralatan elektronik bukan untuk rokok elektronik atau cecair vape.
“Perbincangan ini turut dijangka melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh dari sudut penguatkuasaan, perundangan dan kesan sosioekonomi,” tambahnya.
Tegas beliau, sebarang keputusan hanya akan dibuat berdasarkan kajian terperinci dengan mengambil kira kepentingan kesihatan awam, keberkesanan penguatkuasaan serta kesejahteraan rakyat negeri Selangor.
“Saya menghargai keprihatinan semua pihak termasuk cadangan oleh Timbalan Ketua Polis Negara dan kami komited untuk meneliti isu ini secara menyeluruh dan inklusif,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






