Selangor laksana tiga langkah segera tingkat keselamatan sekolah
SHAH ALAM – Pemasangan alat pengesan logam, sistem televisyen litar tertutup (CCTV) dan sistem notifikasi pintar antara tiga langkah segera yang akan dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan keselamatan di sekolah.
Langkah berkenaan diumumkan susulan insiden tragis kematian seorang pelajar perempuan di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini yang menimbulkan kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak mereka di sekolah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini sebagai usaha segera mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem keselamatan institusi pendidikan di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga akan mengadakan sesi pertemuan bersama ibu bapa, guru dan pelajar bagi memperingati mangsa serta membantu mereka mengatasi trauma akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terlibat.
Amirudin menegaskan, insiden seumpama itu tidak boleh dibiarkan berulang dan sekolah mesti kekal sebagai tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu.
Selasa lalu, negara digemparkan dengan kes seorang pelajar Tingkatan 2 menikam pelajar Tingkatan 4 hingga maut di tandas sekolah di Bandar Utama. Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








