Sekatan AS ke atas sektor pertahanan Turkiye dijangka tamat akhir tahun ini
ISTANBUL – Sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap sektor pertahanan Turkiye susulan pembelian sistem pertahanan udara dari Rusia dijangka tamat menjelang akhir tahun ini.
Duta AS ke Ankara, Tom Barrack menyatakan, kedua-dua pihak akan duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian dan menyelesaikan isu yang telah berlarutan selama lima tahun tersebut.
“Pertikaian itu dijangka akan diselesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Washington mengenakan sekatan ke atas Ankara pada tahun 2020 selepas Turkiye membeli sistem pertahanan peluru berpandu S-400 dari Rusia, berdasarkan undang-undang CAATSA 2017 yang bertujuan mengehadkan pengaruh ketenteraan Moscow.
Akibat sekatan itu, Turkiye turut dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35.
AS menyatakan kehadiran sistem S-400 memberi peluang kepada Rusia untuk mengumpul maklumat mengenai keupayaan jet pejuang berteknologi tinggi AS.
Selasa lalu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, dilaporkan bertemu dengan Presiden AS, Donald Trump, di luar sidang kemuncak NATO di The Hague dan menyeru agar kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara dipertingkatkan.
Turkiye yang sedang berusaha memodenkan kekuatan udaranya turut berhasrat untuk membeli 40 pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh konsortium empat negara iaitu Jerman, Britain, Sepanyol dan Itali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








