POLITIK

“Saya tak sertai mana-mana parti politik sebab saya tak anggap saya keluar daripada UMNO… saya dipecat” – KJ

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui tidak menyertai mana-mana parti politik kerana masih sayangkan parti lamanya.

Laporan portal Sinar Harian menyebut, Khairy Jamaluddin masih menganggap dirinya sebagai ahli UMNO meskipun telah dipecat daripada parti berkenaan sejak Januari tahun lalu,

“Saya tak sertai mana-mana parti politik sebab saya tak anggap saya keluar daripada UMNO, sebab saya dipecat.

“Jadi orang yang kena pecat ini, dia masih lagi sayang dengan parti lama, sebab itu saya tidak keluar (daripada UMNO),” katanya ketika sidang akhbar Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 di Menara Aras Raya, di sini hari ini.

Hadir sama, bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Ketika mengulas mengenai kesediaan beliau untuk memohon kembali kepada UMNO susulan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, Khairy Jamaluddin berkata, beliau mengambil pendirian untuk menunggu dan melihat keadaan semasa dahulu.

“Itu satu kenyataan menarik daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Tengoklah macam mana nanti,” katanya lagi.

Selain Khairy Jamaluddin, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.

Pada 5 Julai, Ahmad Zahid mendedahkan pihaknya menerima banyak permohonan daripada bekas ahli untuk kembali menyertai kembali parti berkenaan.

Menurutnya, semua permohonan tersebut akan dibawa kepada Lembaga Disiplin sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk dimuktamadkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button