BERITA SEMASA

‘Salangai’ cerminan semangat Deepavali, perpaduan Malaysia MADANI

KUALA LUMPUR — Dalam menyemarakkan sambutan Deepavali tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mempersembahkan sebuah filem pendek bertajuk “Salangai”, sebuah karya yang sarat dengan makna, budaya dan semangat perpaduan sejati rakyat Malaysia.

Ditayangkan secara rasmi di platform media sosial Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Salangai bukan sekadar sebuah filem pendek, ia adalah simbol kepada getaran budaya yang hidup, perasaan kasih yang mendalam dan kekuatan nilai harmoni dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Selain itu, di atas persetujuan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, filem pendek itu juga turut disiarkan melalui siaran TV 1, TV 2 Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan mendapat liputan daripada Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) untuk memberi liputan yang baik demi kesedaran awam untuk terus mengekalkan keharmonian dalam kepelbagaian di Malaysia.

“Makna dalam Setiap Langkah Tarian Mengangkat tarian klasik India, Bharatanatyam sebagai nadi penceritaan, Salangai menyoroti keindahan budaya Tamil yang berakar umbi dalam sejarah dan spiritualiti.

“Bharatanatyam, berasal dari negeri Tamil Nadu di India, bukan sekadar bentuk tarian tetapi suatu bentuk penyembahan, penyampaian emosi, dan penceritaan melalui gerak tubuh, ekspresi wajah dan irama kaki termasuk bunyi salangai atau loceng kaki yang dikenakan oleh penari,” menurut KPN dalam satu kenyataan.

Salah satu scene dalam filem pendek Salangai yang ditayangkan sempena Deepavali oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Dalam konteks Salangai, katanya, setiap getaran loceng bukan hanya bunyi semata-mata tetapi gema nilai kasih sayang, semangat kekeluargaan dan penghormatan antara kaum dalam sebuah negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

“Deepavali dalam Semangat MADANI Deepavali atau Pesta Cahaya, disambut oleh masyarakat India beragama Hindu sebagai simbol kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan menewaskan kejahatan.

“Namun lebih dari itu, sambutan ini kini menjadi ruang untuk seluruh rakyat Malaysia menyemai nilai-nilai murni seperti kemaafan, kasih sayang dan perpaduan,” katanya.

Salah satu scene dalam filem pendek Salangai yang ditayangkan sempena Deepavali oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Dalam pada itu katanya, selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, filem ini membawa mesej jelas tentang pentingnya penerapan nilai-nilai MADANI merentas bangsa, agama dan latar belakang.

Filem Salangai mengajak rakyat untuk melihat Deepavali sebagai sebuah perayaan yang menyatukan, bukan memisahkan dengan menyalakan harapan baru dalam hati setiap rakyat Malaysia.

Sementara itu, Aaron Ago Dagang turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh perpaduan nasional bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja tetapi perlu dipikul bersama sebagai satu keluarga besar Malaysia.

“Semoga cahaya Deepavali terus menyinari setiap rumah dan hati rakyat Malaysia dengan harapan baharu, kasih sayang dan semangat untuk terus bersatu sebagai satu keluarga besar Malaysia MADANI,” ujarnya.

Barisan pelakon filem pendek Salangai.

Gabungan seni, bakat dan jiwa filem pendek ini turut menyerlahkan kekuatan sinematik dan emosi dengan barisan pelakon yang berbakat besar.

Dibintangi oleh Dhakshayni Jegatheeswaran sebagai teraju utama bersama Menaka Sinnaia dan Muthukaruppan V Mariappan serta barisan pelakon lain seperti Nicole Wong Jing Wen, Ahmad Izzulfaiq, Danial Dashuki, Aiman Rahman, Tiara Suraya dan pelakon iklan terkenal Izhar Hussin, Salangai berjaya menyentuh hati penonton dari pelbagai latar belakang.

Keunikan filem ini turut terserlah dengan penampilan istimewa pelakon cilik Aryan Rizqullah yang membawa watak anak kepada pasangan yang dilakonkan oleh Danial dan Tiara.

Salah satu scene dalam filem pendek Salangai yang ditayangkan sempena Deepavali oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Turut mencuri tumpuan ialah Syaafiq, atau lebih dikenali sebagai Syafiq Leggo, pempengaruh media sosial yang membawa peranan penting dalam menyampaikan mesej perpaduan dan semangat Deepavali.

Deepavali bukan hanya milik satu kaum, tetapi milik semua rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan hormat-menghormati.

Filem Salangai adalah bukti bahawa seni mampu menjadi jambatan antara budaya, memperlihatkan bahawa perbezaan bukan halangan tetapi kekuatan untuk kita terus bersatu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button