BERITA SEMASALUAR NEGARA

Runtuhan glasier gergasi di Alps, perkampungan Blatten tenggelam 90 peratus

GENEVA – Hampir 90 peratus perkampungan Blatten yang terletak di kawasan pergunungan Alps dekat Lötschental musnah akibat ditimbus runtuhan Glasier Birch, semalam.

Runtuhan batu, salji dan lumpur berskala besar itu dilapor menenggelamkan hampir keseluruhan perkampungan.

Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki berusia 64 tahun dipercayai masih hilang dalam kejadian itu manakala kira-kira 300 penduduk telah dipindahkan sebelum ini susulan amaran awal yang diterima.

“Runtuhan itu menyebabkan sungai Lonza yang mengalir berhampiran tertimbus, menimbulkan kebimbangan terhadap risiko banjir jika aliran air terus tersekat,” kata Stephane Ganzer, ketua keselamatan di selatan bahagian Valais.

Perbandingan gambar sebelum dan selepas tragedi runtuhan glasier yang menenggelamkan perkampungan Blatten di lembah pergunungan Alps, Switzerland.

Menteri Alam Sekitar Switzerland, Albert Rösti, menyifatkan kejadian itu sebagai peristiwa luar biasa dan berjanji akan memberikan sokongan kepada penduduk yang hilang tempat tinggal.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan dan tentera telah dikerahkan untuk menjalankan operasi menyelamat dan memeriksa situasi termasuk menilai kerosakan dan memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Sementara itu, pakar geologi mengaitkan ketidakstabilan glasier berlaku akibat pemanasan global yang mempercepatkan penyusutan glasier di seluruh Switzerland.

Pada tahun 2023 sahaja, Switzerland kehilangan 4 peratus daripada jumlah isipadu glasiernya, selepas penurunan enam peratus pada tahun 2022 yang merupakan kerugian terbesar yang pernah direkodkan dalam dua tahun berturut-turut.

Presiden perkampungan Blatten, Matthias Bellwald menyifatkan kemusnahan perkampungan yang cantik di lembah itu kehilangan yang amat perit untuk diterima namun berikrar untuk membinanya semula.

“Insiden ini mengingatkan kita akan ancaman yang semakin meningkat akibat perubahan iklim terhadap komuniti di kawasan pergunungan Alps,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button