MALAYSIA MADANIRENCANA

Sentuhan Siti Nurhaliza hidupkan semangat perpaduan dalam lagu Hari Kebangsaan 2025

PEMILIHAN biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyanyi utama lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 menjadi pelengkap kepada karya yang melambangkan keharmonian Malaysia dalam satu gubahan irama cukup asli.

Bagi penggubah lagu ‘Malaysian Modern Day: Ada Satu Nadi’, Affan Mazlan, gabungan suara ikonik penyanyi nombor satu negara itu dengan kata yang sarat penuh makna menjadi simbol kesatuan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dengan elemen kebudayaan setiap kaum, lagu yang dihasilkan anak muda berusia 25 tahun itu bukan juga sekadar hiburan tetapi inspirasi untuk seluruh rakyat Malaysia.

Pemilihan Siti Nurhaliza sebagai penyanyi lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 disifatkan sebagai pelengkap karya Affan.

Melalui penghasilan terbaharunya itu, pensyarah Audio Production di Fakulti Multimedia Kreatif, Universiti Multimedia (MMU) itu kini mencipta rekod sebagai komposer lagu kebangsaan untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2023.

Namun, bagi dirinya yang tidak lagi asing dalam dunia muzik patriotik, gubahan lagu kali ini menyaksikan pendekatan yang sedikit berbeza.

“Dua tahun sebelum ini saya cipta lagu berunsur korporat, sangat patriotik dan formal. Tahun ini, saya pilih pendekatan berbeza iaitu lagu rakyat yang menggabungkan unsur tradisional dan pelbagai kaum,” kata Affan dalam satu temubual baru-baru ini.

Malaysian Modern Day: Ada Satu Nadi bukan sahaja menampilkan irama yang segar malah menyatukan pelbagai elemen bunyi dari tiga budaya utama iaitu Melayu, Cina dan India sebagai lambang identiti Malaysia.

Uniknya, laungan azan turut dimasukkan secara kreatif sekali gus memperkayakan nilai spiritual dalam lagu tersebut.

Sesi temubual bersama Affan dilakukan di Kementerian Komunikasi, Putrajaya baru-baru ini.

“Mesej utamanya adalah perpaduan. Sebab itu saya masukkan elemen muzik pelbagai kaum. Ada unsur muzik Cina, India dan tentunya elemen Melayu sendiri.

“Lagu ini akan dinyanyikan di sekolah, pejabat dan pelbagai majlis. Secara tak langsung, masyarakat khususnya pelajar akan terdedah dengan elemen budaya kaum lain.

“Dari situ, timbul kesedaran dan keterbukaan untuk menjadikannya satu karya yang mewakili kepelbagaian budaya kita,” jelasnya yang mengambil masa lebih kurang sebulan menyiapkan lagu tersebut.

Bagaimanapun beliau mengakui, penciptaan lagu itu turut berdepan beberapa cabaran termasuk dalam aspek penulisan lirik untuk memberikan kesan mendalam dan pada masa sama mudah difahami.

Katanya, dalam erti kata lain, susunan kata dalam lirik perlu menyentuh jiwa tanpa membebankan pendengar.

“Lagu ini perlu mewakili suara dan jiwa rakyat, bukan sekadar untuk dengar, tapi untuk dirasa. Saya juga pastikan korusnya ‘singable’, mudah dihafal dan dinyanyikan.

“Tapi dalam masa yang sama, saya masukkan juga elemen rancak supaya sesuai untuk persembahan pentas seperti tarian atau koir. Ia perlu seimbang,” ungkapnya lagi.

Menurut Affan, pemilihan Siti Nurhaliza sebagai penyanyi utama lagu itu sememangnya pilihan yang tepat dan menganggapnya sebagai satu ‘jodoh seni’.

“Kebetulan juga lagu ini diinspirasikan daripada lagu Kurik Kundi nyanyian Datuk Seri. Jadi apabila beliau dipilih, ia seperti jodoh yang tepat dengan konsep lagu ini.

“Secara peribadi saya sangat berpuas hati kerana suara beliau sangat melengkapi dan menjadikan lagu ini cukup istimewa,” katanya yang berjaya merakamkan lagu tersebut dalam tempoh kurang dua jam sekaligus menjadi rekod rakaman terpantas lagunya.

Affan bercakap kepada wakil media pada sesi temubual baru-baru ini.

Affan berkata, lagu itu juga menampilkan bakat baharu pada suara latar, termasuk penglibatan pelajar dari Multimedia University Malaysia (MMU) dan artis muda yang secara tidak langsung memberi sentuhan segar serta representasi generasi baru Malaysia.

Baginya, lagu kebangsaan bukan sekadar produk tahunan tetapi harus menjadi jambatan pendidikan, memperkenalkan rakyat kepada budaya terutamanya generasi muda.

“Kalau budak-budak sekolah nyanyi lagu ini dan mereka dengar alat muzik kaum lain, mereka akan belajar sesuatu. Dari situlah kita boleh pupuk hormat dan saling memahami,” ujarnya.

Wajah anak-anak generasi hari ini bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

Berkongsi mengenai penciptaan lagu itu, Affan berkata, inspirasi terbesar datang dari zaman kanak-kanaknya ketika membesar di Seremban bersama rakan-rakan berbilang kaum tanpa wujud sebarang jurang budaya atau prasangka.

Ujarnya, erti sebenar Malaysia tidak terletak pada slogan yang diulang saban tahun, tetapi pada pengalaman hidup yang tulen dan hubungan ikhlas antara rakyat pelbagai latar belakang.

“Lagu ini saya hadiahkan kepada semua rakyat Malaysia. Saya harap ia boleh menjadi penyambung rasa, penyatu hati dan penyuluh semangat,” katanya menutup temubual penuh emosi itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button