
Hormati pandangan mufti, namun konsert solo tetap diteruskan – Siti Nurhaliza
KUALA LUMPUR – Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan tetap diteruskan mengikut jadual.
Menurut Pengasas dan Pengerusi Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, ini kerana hanya tarikh tersebut yang mempunyai kekosongan.
“Kami di Yayasan Nurjiwa juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.
“Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal tahun 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu.
“Namun, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan kami mencapai keputusan secara consensus untuk meneruskannya,” katanya.
Terdahulu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa agar Siti Nurhaliza menunda konsert solo yang dijadualkan pada 9 Mac 2024 kerana kurang tiga hari sebelum umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Ramadan.
Mengulas lanjut, katanya, pihaknya berlapang dada menerima gesaan dan teguran daripada Mufti Pulau Pinang.
Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa juga menjelaskan, penundaan konsert itu akan memberikan implikasi yang besar pada banyak pihak khususnya di pihak produksi serta pengurusan Perbadanan Stadium Nasional.
“Bahkan, apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disaluran dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.
“Kita tidak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin.
“Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu. Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana,” kata Khalid lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







