BERITA SEMASA

Rempuh babi hutan, wanita maut dalam perjalanan pulang ke Temerloh

BERA – Seorang wanita maut manakala suaminya cedera selepas motosikal yang mereka naiki merempuh seekor babi hutan di Kilometer 35, Jalan Temerloh-Bahau, semalam.

Mangsa, Nor Harizan Muhamad Habri, 48, yang membonceng motosikal jenis Yamaha itu disahkan meninggal dunia pada pukul 4.25 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, insiden tersebut berlaku pada pukul 12.30 tengah hari semalam sewaktu pasangan berkenaan dalam perjalanan dari Nilai, Negeri Sembilan ke Charuk Puting, Temerloh.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu, Kairil Akmal Zaibuddin,50, terlanggar seekor babi hutan yang tiba-tiba melintas jalan di laluan sehala.

“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal dan isterinya tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Bera untuk mendapatkan rawatan sebelum Nor Harizan dipindahkan ke HOSHAS.

“Bagaimanapun, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia beberapa jam kemudian,” katanya.

Suami mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Bera akibat kecederaan pada bahagian tulang rusuk.

Zulkiflee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, babi hutan berkenaan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran selepas kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button