Raya Satu Hati: Amar Amran teruskan tradisi lagu raya, duet bersama Apak Harry KAPAK
KUALA LUMPUR – Pengasas jenama busana tradisi Melayu terkenal, Amar Amran kembali meneruskan tradisi apabila melancarkan lagu baharu berjudul Raya Satu Hati bagi meraikan 51 tahun legasi jenamanya.
Tahun lalu, Amar Amran tampil dengan lagu Raya Sehati Sedondon menerusi kolaborasi bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah.
Bagi kempen raya tahun ini pula, beliau memilih untuk berduet dengan komposer dan penyanyi Apak Harry KAPAK menerusi lagu Raya Satu Hati, sekali gus meneruskan pendekatan kreatif menggabungkan dunia fesyen dan muzik dalam mempromosikan jenama tersebut.

Menurut Amar Amran, lagu ciptaan Apak Harry KAPAK dengan lirik hasil kolaborasi Ajim Maze dan dirinya itu menjadi lagu tema rasmi kempen raya 2026.
“Lagu Raya Satu Hati adalah sebuah karya istimewa yang menggabungkan semangat Aidilfitri, nilai kekeluargaan dan identiti gaya busana Melayu dalam satu naskhah muzik yang segar dan dekat di hati masyarakat.
“Karya ini menampilkan penceritaan raya yang penuh emosi, dari gema takbir, kepulangan ke pangkuan keluarga, momen bermaafan hingga keceriaan bergaya sedondon di pagi Syawal,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, lagu tersebut membawa mesej perpaduan dan penyatuan jiwa yang selari dengan konsep kempen raya jenama itu pada tahun ini.
“Karya ini mengangkat frasa utama iaitu ‘tak kira apa rupa warnanya’ kerana di hari raya kita semua bersatu hati meraikan hari tersebut.
“Lagu ini membawa mesej perpaduan dan penyatuan jiwa, selari dengan tema besar kempen Amar Amran tahun ini yang menekankan konsep kebersamaan merentasi generasi,” jelasnya.
Antara elemen menarik dalam lirik lagu itu termasuk gambaran gaya busana raya seperti cekak musang merah burgundy yang melambangkan gaya klasik dengan sentuhan moden iaitu satu pendekatan yang konsisten dalam rekaan Amar Amran yang memartabatkan warisan busana Melayu.
Menurutnya, penghasilan lagu tersebut bukan sekadar pelengkap kempen promosi, sebaliknya menjadi medium naratif yang menghidupkan keseluruhan konsep Raya Satu Hati.
“Raya bukan hanya tentang pakaian, tetapi tentang rasa iaitu rasa kembali, rasa memaafkan dan rasa menyatu.
“Lagu ini merangkum perjalanan emosi Aidilfitri dan diterjemahkan seiring dengan gaya serta identiti busana Amar Amran,” katanya.
Beliau berkata, lagu itu akan menjadi runut bunyi rasmi bagi keseluruhan kempen Raya Satu Hati 2026 yang merangkumi filem pendek raya, pertunjukan fesyen, kandungan digital, aktivasi butik serta siri jelajah promosi di seluruh negara.
Pelancaran lagu tersebut turut disertai pengenalan Koleksi Raya Satu Hati 2026 yang menampilkan lebih 1,000 SKU busana raya untuk seisi keluarga dengan konsep sedondon, pilihan warna berkarakter serta potongan yang mengekalkan elemen warisan dan keselesaan.
Sementara itu, Apak Harry KAPAK atau nama sebenarnya Ahmad Sairi Haslan Muhammad Redzwan berkata, kerjasama bersama Amar Amran merupakan kali kedua selepas menghasilkan lagu raya pertama usahawan tersebut.

“Mula-mula saya kenal Amar Amran melalui Datuk Jamal Abdillah yang mencadangkan nama saya untuk menghasilkan lagu raya pertama beliau, Raya Sehati Sedondon.
“Kali ini, saya bukan sahaja mencipta lagu kedua untuk Amar Amran yang berjudul Raya Satu Hati, malah turut berpadu suara dengannya,” katanya.
Menurut Apak Harry, proses menghasilkan lagu tersebut berjalan lancar memandangkan mereka sudah mempunyai keserasian hasil kerjasama sebelum ini.
Disebabkan itu, proses rakaman tidak mengambil masa lama apabila lagu bergenre pop etnik tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh kurang seminggu, manakala sesi rakaman di Studio MVM Music hanya mengambil masa sekitar dua jam.
“Dari segi vokal, saya sudah faham tona suara Amar sejak lagu pertama lagi kerana tonanya agak hampir dengan tona Datuk Jamal Abdillah,” katanya.
Lagu Raya Satu Hati telah dilancarkan di semua platform digital dan saluran media sosial rasmi Amar Amran bermula 20 Februari 2026.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

