BERITA SEMASA

Ramanan bidas pembangkang remehkan bantuan RM100

BUTTERWORTH – Tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang memperlekeh bantuan sekali bayar sebanyak RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dilihat tidak sensitif terhadap nasib golongan miskin.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, mereka yang berada dalam kategori berkemampuan seharusnya menunjukkan sifat belas kasihan terhadap golongan yang memerlukan bantuan dan bukannya mempersenda kesusahan orang lain.

Katanya, golongan berada seperti kelompok T20 mungkin tidak merasai kesan bantuan tersebut, namun ia memberi makna besar kepada penerima dalam kalangan B40.

“Kalau kita lihat, satu keluarga RM100 itu kalau dia orang kaya, dia T20 memanglah itu dia akan perlekehkan, tetapi tahu tak negara ini berapa banyak orang di dalam golongan B40, tahu tak berapa besar RM100 itu.

“Jangan jadikan jenaka dengan kesusahan orang lain, tolonglah ada rasa belas kasihan dan bersalah bila bercakap.

“Bila pembangkang buat macam itu, dia bukan memperlekehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi memperlekehkan orang miskin,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu, beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Taklimat dan Penyerahan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) 2.0 di sebuah hotel di Seberang Jaya, malam tadi.

Tambah Ramanan, walaupun jumlah bantuan tersebut dilihat kecil dari sudut pandangan segelintir pihak, namun bagi penerima yang memerlukan, ia cukup bermakna dan boleh meringankan beban harian.

“Bagi orang yang kaya, pembangkang mereka semua kaya, memang tak faham RM100 itu besar ke tak. RM100 itu boleh beri berapa kilogram beras, berapa ayam boleh beli.

“Jadi kita kena fahamlah, kalau bagus, inisiatif bagus kita kena cakap bagus. Kalau tak bagus, cakap tak bagus,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan program PENN 2.0 setakat ini telah memberi manfaat kepada seramai 7,074 wanita India di seluruh negara, dengan jumlah pembiayaan keseluruhan mencecah RM48.3 juta.

“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 214 usahawan wanita India menerima pembiayaan PENN membabitkan jumlah RM1.23 juta.

“Daripada jumlah keseluruhan, lebih 1,000 adalah usahawan baharu yang berjaya memulakan perniagaan pertama mereka,” katanya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button