SEJAK seminggu ini tular di TikTok video seorang pelancong asing yang membaca potongan ayat Al-Quran di hadapan Kuil Hindu Batu Caves. Pempengaruh yang menggunakan nama Abdeen itu telah merakam dan memuat naik beberapa video dari Batu Caves, tempat beribadat bersejarah masyarakat Hindu.
Tindakan memuat naik video berunsur provokasi perkauman dan menghina agama Hindu telah mendapat pelbagai reaksi netizen. Video ini menjadi tular dalam kalangan orang awam dan mewujudkan keresahan antara penganut agama Islam dan agama Hindu di Malaysia. Beberapa siri video balas dan komen yang dibuat turut mengeruhkan lagi keadaan. Satu laporan polis telah pun dibuat oleh sekumpulan belia rentetan isu ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar telah mengecam sekeras-kerasnya tindakan pelancong asing yang membaca ayat al-Quran di kompleks kuil Hindu Batu Caves, untuk memperlekeh agama lain. Beliau turut menyifatkan tindakan pelancong itu sebagai sangat tidak wajar dan tidak memahami sensitiviti masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya di Malaysia atau tidak menghormati tapak keagamaan.
Manakala Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan pula menggesa Jabatan Imigresen untuk menyenarai hitam pelancong asing berkenaan daripada memasuki Malaysia. Saya menyambut baik tindakan Menteri Agama yang segera memberikan respon supaya ia tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Saya turut bersetuju dengan cadangan Syahredzan untuk menyenarai hitam pelancong yang berkelakuan sebegini rupa yang langsung tidak mengendahkan sensitiviti masyarakat Malaysia. Tidak kira mana-mana agama atau bangsa dihina atau diperlekeh maka tindakan yang tegas perlu diambil.
Meskipun pempengaruh tersebut telah memohon maaf, saya ingin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu bernada seumapama itu supaya tiada lagi ruang kepada mereka yang berfikiran sempit sebegitu yang ternyata akan menggugat keharmonian, perpaduan dan keamanan Negara.
Selain itu, Kementerian Perpaduan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) juga harus mengambil langkah proaktif bagi memastikan tiada lagi ruang untuk ekstremis perkauman ataupun sebarang konten di media sosial yang berbaur perkauman sebagai usaha untuk membendung barah perkauman terus menular dalam Negara.
Kita juga perlukan usaha yang lebih serius dalam penguatkuasaan undang-undang dalam membendung penularan virus perkauman ini. Ianya bukan sahaja menghancurkan keharmonian antara kaum malah turut membantutkan pembangunan negara.
Begitu juga dalam isu UiTM dimana tindakan kekanda saya, Dr Akmal Saleh, Ketua Pemuda UMNO yang membuat kenyataan seolah-olah masyarakat bukan bumiputera cemburu dan cuba menggugat kedudukan UITM dan hak Bumiputera. Anehnya, pendirian beliau dalam isu sekolah vernakular bercanggah 360 darjah berbanding dengan isu UiTM.
Apakah Ketua Pemuda UMNO tidak sedar beliau mewakili Kerajaan Perpaduan dan kedudukan sekolah vernakular termaktub dalam perlembagaan? Ini adalah sebuah kenyataan yang bermotifkan politik murahan bagi meraih keuntungan politik semata-mata. Tindakan jijik seumpama ini yang berniat memecah belahkan rakyat harus dihentikan segera oleh beliau.
Saya ingin tegaskan masyarakat bukan bumiputera tidak pernah cemburu mahupun berniat untuk menggugat hak bumiputera termasuk dalam isu UiTM. Negara Malaysia mempunyai perlembagaan yang cukup baik untuk semua masyarakat, jadi mengapa perlu mewujudkan perasaan prasangka buruk yang bersifat menggugat perpaduan kaum?
Peluang pendidikan yang adil dan saksama bagi anak-anak bukan bumiputera yang berkelayakan ke Universiti Awam adalah permintaan asas daripada masyarakat bukan bumiputera yang wajar diperhalusi oleh Kerajaan MADANI.
Saya ingin menggesa Kerajaan Perpaduan supaya merancang dasar untuk memastikan anak-anak Malaysia yang berkelayakan dapat peluang yang adil dalam bidang pendidikan awam.
Kini tiba masanya untuk Kerajaan Perpaduan bagi merangka satu undang-undang yang khusus bagi mengatasi diskriminasi dan perkauman tanpa menggunakan Akta Hasutan yang seringkali dilihat sebagai senjata politik.
Saya turut menggesa Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian-kementerian yang terbabit untuk mengkaji semula cadangan memperkenalkan suatu undang-undang yang spesifik bagi membolehkan kerajaan bertindak terhadap mana-mana individu yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecah belahkan perpaduan nasional.
Sebelum ini pernah ada usaha untuk memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional seperti di Singapura namun ditolak. Kini Kerajaan boleh memperkenalkan suatu akta mengikut keperluan semasa yang mampu memperincikan tindakan undang-undang bagi mengatasi masalah isu hina agama, kaum dan diskriminasi.
Kita sebagai rakyat Malaysia sentiasa harus berganding bahu memerangi virus perkauman sempit yang memecahbelahkan kita. Politik perkauman juga harus dihindari bagi menjamin Malaysia MADANI yang harmoni dan maju.
“Kepelbagaian Asas Kekuatan Malaysia”
#TolakPerkauman
#KeadilanUntukSemua
#MalaysiaMADANI
THIBAN SUBBRAMANIAM
Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan
Ketua Cabang Keadilan Kuala Selangor
*Tulisan ini tidak mencerminkan pandangan Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








