Rafizi perkenal kedai makanan, barangan jual di bawah harga RM5
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memperkenalkan dua inisiatif perusahaan sosial baharu Fleximart dan Kesum yang menawarkan harga RM5 ke bawah.
Rafizi berkata, kedua-dua premis yang diasaskan di bawah inisiatif Ayuh Malaysia itu akan dibuka kepada orang ramai pada 1 November di Seksyen 7, Shah Alam (Fleximart) dan 8 November di Pandan Indah (Kesum).
“Konsep yang dibawa menumpukan kepada perkongsian antara penyumbang modal dan pekerja, di mana keuntungan akan diagihkan semula untuk mengekalkan harga rendah serta memastikan pekerja menerima pulangan setimpal.
“Fleximart ialah kedai serbaneka yang menawarkan makanan siap saji dan barangan runcit pada harga bawah RM5, manakala Kesum pula kedai makan dengan konsep asal kenyang, sedap dan murah.
“Lebih tinggi keuntungan, lebih tinggi gaji pekerja. Sebahagian keuntungan juga akan disumbangkan semula bagi mengekalkan harga rendah untuk pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rafizi berkata, nama Kesum diambil sempena daun kesum yang sinonim dengan masakan tempatan dan juga singkatan kepada “kenyang, sedap dan murah”.
“Projek ini bersifat eksperimen sosial pertama seumpamanya dan kejayaannya masih belum pasti, namun berhasrat untuk membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak muda serta membantu masyarakat mendapatkan makanan dan barangan pada harga mampu milik.
“Jika eksperimen ini berjaya, kita akan kembangkan ke lebih banyak cawangan. Lebih banyak cawangan bermakna lebih banyak peluang pekerjaan serta latihan kepada anak muda untuk mengurus perniagaan sendiri,” katanya lagi.
Rafizi turut berkata, beliau sendiri akan turun padang sebagai kru Fleximart dan Kesum pada hari pelancaran nanti sebagai tanda sokongan terhadap semangat keusahawanan sosial yang diperjuangkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








