Prestasi syarikat air di Perlis, Kedah dan Kelantan kurang memuaskan – TPM Fadillah
KUALA LUMPUR – Prestasi syarikat-syarikat bekalan air di Perlis, Kedah dan Kelantan dikenal pasti masih berada pada tahap yang kurang memuaskan selepas gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, negeri yang mencatat prestasi terbaik dalam sektor perkhidmatan air ketika ini ialah Pulau Pinang, Selangor dan Johor.
“Fokus kini tertumpu kepada usaha memastikan syarikat bekalan air di negeri-negeri berprestasi rendah dapat mencapai KPI yang ditetapkan, bagi menjamin bekalan air yang stabil dan mengurangkan aduan daripada pengguna,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN–Tampin) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang menyelaraskan struktur tarif air negeri dalam jangka panjang.
Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan bahawa antara KPI utama yang perlu dipatuhi syarikat air termasuk margin simpanan bekalan, kualiti air terawat, pengurusan Air Tidak Terhasil (NRW), keberkesanan penyelesaian aduan serta tempoh baik pulih.
Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM7.7 bilion sebagai perbelanjaan modal (CAPEX) di bawah Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2) untuk membiayai 82 projek berkaitan perkhidmatan air di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, 23 projek bertujuan memastikan kecukupan bekalan air, 20 projek melibatkan peningkatan kualiti air, 20 lagi bagi pengurangan kadar NRW, 16 projek untuk penambahbaikan sistem agihan, manakala selebihnya melibatkan tiga projek sokongan lain,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





