JENAYAH & MAHKAMAH

Presiden PUSPAHANAS saman Chegubard, failkan 18 tuntutan fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap aktivis, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard susulan dakwaan yang mencemarkan reputasi dan integriti beliau sebagai pegawai kanan tentera.

Peguam yang mewakili Sabri, Mohd Firdaus Jamaludin berkata, sebanyak 18 tuntutan saman difailkan berkaitan pelbagai kenyataan yang didakwa menyentuh kelayakan, kredibiliti serta integriti anak guamnya.

Menurutnya, terdapat juga kenyataan lain yang berbentuk tohmahan dan cemuhan terhadap peribadi Sabri sebagai individu termasuk penyataan yang dibuat secara berulang serta ditambah dengan komen di ruangan media sosial.

“Kesemua penyataan ini adalah tidak benar, mengelirukan dan memberi kesan serius terhadap reputasi anak guam kami yang tidak boleh dipulihkan hanya dengan penjelasan awam.

“Anak guam kami juga tidak pernah disabitkan atau didakwa atas apa-apa kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku seperti yang didakwa,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mohd Firdaus berkata, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks atau terdedah kepada manipulasi dan fabrikasi tidak boleh dianggap sebagai bukti konklusif serta berisiko mengelirukan persepsi orang awam khususnya di media sosial.

“Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi anak guam kami, malah berpotensi mencemarkan keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi berkaitan.

chegubard
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard.

“Dalam saman ini pihak plaintif akan memohon perintah injunksi bagi mengarahkan kesemua kenyataan didakwa fitnah itu diturunkan sepenuhnya, selain menuntut remedi lain yang akan diperincikan di mahkamah,” katanya memetik laporan Metro Online.

Beliau berkata, tindakan undang-undang tersebut diambil selepas pihak defendan didakwa gagal memberikan sebarang respons terhadap surat tuntutan yang mengarahkan semua kenyataan berunsur fitnah diturunkan daripada platform media sosial.

“Kenyataan yang dibuat bukan sahaja tidak benar dan mengelirukan, malah bersifat fitnah serta menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi anak guam yang tidak boleh dipulihkan hanya melalui penjelasan awam,” katanya.

Menurut Mohd Firdaus, penyiaran kenyataan berkenaan telah memberi kesan serius terhadap reputasi, maruah, kredibiliti profesional serta integriti anak guamnya.

“Justeru, plaintif memfailkan tindakan saman fitnah di Mahkamah Tinggi bagi menuntut pengisytiharan bahawa kenyataan itu adalah fitnah, perintah supaya penerbitan lanjut dihentikan serta ganti rugi yang wajar atas kerosakan reputasi dan penderitaan yang dialami,” katanya.

Untuk rekod, pada Disember lalu, Chegubard mendakwa Sabri terbabit dalam kesalahan berkaitan rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa diterima oleh Pembela Tanah Air (PETA).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button