Polis tahan lelaki dipercayai terlibat halang laluan trafik di Lebuh Raya PLUS
REMBAU – Pihak polis sudah menahan seorang daripada pemilik tiga kereta yang dirakam menghalang laluan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi, semalam.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, suspek yang berusia 50-an ditahan di sekitar Seremban, 12.30 tengah malam tadi.
“Polis menahan seorang suspek yang juga pemilik kenderaan yang disyaki menghalang lalu lintas di Lebuh raya PLUS. Kami sedang memburu suspek lain.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek adalah ejen tarik kenderaan dan mereka menahan kenderaan kerana mahu menarik sebuah kereta,” katanya, hari ini.
Video kejadian yang menjadi tular sejak malam tadi menunjukkan tiga buah kereta menghalang laluan di lebuhraya, dipercayai behampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi.
Kata Hasani, disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang laluan orang awam, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Beliau menambah, pihaknya memandang serius sebarang tindakan yang mengganggu kelancaran trafik.
“Tindakan sebegini mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain terutamanya di lebuh raya yang mempunyai aliran trafik berkelajuan tinggi. Ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menyebabkan kemalangan maut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di talian 019-7992519.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








