Polis siasat pikap pamer pelekat tulisan Hebrew
MELAKA – Polis telah membuka kertas siasatan susulan tular sebuah pikap jenis Isuzu yang memaparkan pelekat bertulisan berbahasa Israel, Hebrew yang membawa maksud “Malaysia di tangan kami”.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, siasatan mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Katanya, pihaknya menerima laporan pada jam 3.32 petang semalam daripada seorang lelaki yang juga pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka.
“Pengadu membuat laporan selepas melihat video berdurasi 14 saat yang memaparkan sebuah kenderaan jenis Isuzu dipasang pelekat bertulisan Hebrew di bahagian badan kenderaan terbabit.
“Siasatan awal mendapati tulisan terbabit membawa maksud ‘Malaysia adalah rumah kita/ Malaysia di tangan kami’,” dan kenderaan didaftarkan atas nama seorang lelaki yang beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
“Susulan itu, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus.
“Polis akan memastikan keselamatan serta keharmonian masyarakat sentiasa terjamin,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






