Polis Belgium tahan, siasat dua tentera Israel berhubung dakwaan jenayah perang
BRUSSELS – Polis persekutuan Belgium semalam menahan dan menyoal siasat dua anggota tentera Israel yang dipercayai terlibat dalam jenayah perang di Gaza.
Yayasan Hind Rajab (HRF) dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu merupakan kali pertama suspek Israel yang dikaitkan dengan jenayah di Gaza ditahan dan soal siasat secara rasmi.
“Selepas ditahan, mereka disoal siasat secara rasmi dan kemudian dibebaskan. Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan Belgium mengesahkan bahawa satu siasatan jenayah kini sedang dijalankan.
“Ini menunjukkan Belgium mengiktiraf bidang kuasa undang-undangnya di bawah undang-undang antarabangsa dan mengendalikan tuduhan tersebut dengan tahap keseriusan yang sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu, bagaimanapun tidak menamakan anggota tentera yang ditahan itu.
Kedua-dua anggota tentera itu dikenal pasti dan ditahan ketika menghadiri festival muzik Tomorrowland di bandar Boom, Belgium.
HRF kini mengetuai kempen undang-undang global terhadap anggota tentera Israel yang terlibat dalam jenayah perang, sekaligus memaksa mereka mengelakkan perjalanan antarabangsa kerana risiko ditahan.
Januari lalu, percutian seorang tentera simpanan Israel di Brazil berakhir secara tiba-tiba selepas dia dituduh melakukan jenayah perang di Semenanjung Gaza.
Individu berkenaan yang dikenal pasti sebagai Yuval Vagdani, terpaksa melarikan diri selepas HRF berjaya meyakinkan seorang hakim persekutuan di Brazil untuk membuka siasatan jenayah perang berhubung penglibatannya dalam pemusnahan rumah-rumah orang awam di Gaza.
HRF dinamakan sempena seorang kanak-kanak perempuan Palestin, Hind Rajab,6, yang dibunuh bersama beberapa ahli keluarganya di Gaza pada Januari 2024.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








