BERITA SEMASA

PM ucap tahniah atas pemilihan Pope Leo XIV, harap hubungan Malaysia–Holy See terus erat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada komuniti Katolik di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, susulan pemilihan Pope Leo XIV sebagai pemimpin baharu Gereja Katolik Roman.

Dalam satu kenyataan, Anwar menyifatkan peristiwa bersejarah itu sebagai permulaan baharu yang membawa harapan dan inspirasi buat penganut Katolik di seluruh dunia.

“Malaysia menghargai hubungan yang terjalin dengan Holy See dan kami komited untuk terus mengukuhkan kerjasama yang berteraskan saling hormat, dialog serta komitmen bersama terhadap keamanan dan maruah manusia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut menyatakan keyakinan kepimpinan Pope Leo XIV akan memperkukuh lagi perpaduan dan nilai sejagat dalam masyarakat antarabangsa.

Dunia menyaksikan detik bersejarah apabila Kardinal Robert Prevost, seorang mubaligh kelahiran Chicago, dilantik sebagai Paus ke-267 semalam, menjadikannya individu pertama dari Amerika Syarikat yang memegang jawatan tertinggi dalam Gereja Katolik Roman.

Prevost, 69, yang merupakan anggota Ordo Augustinian, memilih nama Paus Leo XIV dan diumumkan secara rasmi di balkoni utama Basilika St. Peter di Kota Vatican, disambut oleh sorakan ribuan jemaah yang hadir.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button