PM: Reformasi pendidikan tak boleh ditangguh, generasi muda rugi setahun
KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan Malaysia tidak boleh terus ketinggalan dalam reformasi pendidikan kerana sebarang kelewatan, khususnya dalam pelaksanaan dasar kemasukan murid Tahun 1 pada usia enam tahun, hanya akan merugikan generasi muda dan masa depan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penangguhan dasar berkenaan bukan pilihan wajar kerana kanak-kanak akan kehilangan peluang pembelajaran awal yang kritikal dalam fasa perkembangan mereka.
“Kalau ditangguh setahun lagi, anak-anak kita rugi setahun. Generasi sekarang pula tidak sama seperti dahulu, umumnya lebih dewasa, lebih pintar dan lebih peka. Jangan kita menilai dengan cara pemikiran lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Siti Zailah sebelum itu membangkitkan kebimbangan berhubung tahap kesiapsiagaan sistem pendidikan, termasuk kurikulum, tenaga pengajar, infrastruktur serta risiko pelajar menjadi ‘tikus makmal’ kepada dasar baharu.
Menepis kebimbangan tersebut, Anwar menegaskan dasar itu bukan bersifat eksperimen, sebaliknya langkah sistemik yang disokong persediaan asas kerajaan.
“Ini bukan tikus makmal. Semua pelajar yang cukup umur enam tahun masuk sekolah. Soalnya kemudahan ada atau tidak? Kemudahan ada. Guru ada. Nak kata sempurna sepenuhnya mungkin belum, tetapi kita tidak jauh sangat,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan menyedari cabaran sedia ada termasuk isu kesesakan sekolah, khususnya di kawasan bandar, namun pelaksanaan dasar itu perlu dimulakan sekarang dan tidak boleh terus ditangguhkan.
“Saya tidak dapat jamin semua sekolah dapat laksanakan satu sesi kerana ada yang sesak, terutama di bandar. Tetapi perkara ini mesti ditangani sekarang. Jika dilengahkan, negara yang akan rugi,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan turut menyediakan peruntukan besar bagi menyokong pelaksanaan dasar berkenaan, termasuk tambahan dana hampir RM1 bilion.
“Dana disediakan, RM800 juta, mungkin mencecah RM1 bilion. Kita terpaksa cari kerana ini soal masa depan anak-anak. Apakah perlu ditangguh? Saya tidak setuju,” tegasnya.
Beliau menambah, pengambilan guru baharu sedang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan sekolah, khususnya di peringkat pendidikan awal.
“Guru disediakan dan pengambilan yang bermula sekarang adalah untuk memenuhi keperluan di sekolah, terutama di tahap itu,” katanya.
Mengulas kebimbangan ibu bapa, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan dasar tersebut tidak diwajibkan pada peringkat awal bagi mengelakkan kejutan kepada masyarakat.
“Buat masa ini tidak diwajibkan. Tetapi sebagai bekas guru, saya menasihatkan ibu bapa supaya cuba memenuhi keperluan itu. Peringkat awal ini, kita beri ruang,” katanya.
Anwar menegaskan negara perlu berani melakukan pembaharuan dan tidak terus berfikir secara defensif demi kemajuan jangka panjang.
“Kalau ada kelemahan, kita baiki sekarang. Negara yang mahu maju mesti proaktif dan berani membuat perubahan,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan kini mempercepat persediaan merangkumi aspek dana, kurikulum, latihan guru serta penerimaan ibu bapa bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan tersusun dan berkesan.
“Aspek dana, persiapan kurikulum dan sikap ibu bapa sedang diteliti supaya pelaksanaan dapat dibuat sebaik mungkin, Insya-Allah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








