BERITA SEMASAPMX

Penerbangan sewaan khas PM ke benua Afrika demi jimat masa, kos

PUTRAJAYA – Keputusan menggunakan penerbangan sewaan khas bagi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya yang bermula esok dibuat selepas meneliti keperluan perjalanan yang padat serta keutamaan penjimatan kos.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perkhidmatan Malaysia Airlines dipilih kerana menawarkan kelebihan dari segi masa, kos dan penyelarasan delegasi yang perlu bergerak serentak di tiga negara.

Menurutnya, jadual rasmi yang ketat tanpa transit panjang menuntut penggunaan pesawat sewaan khas yang lebih efisien berbanding operasi penuh pesawat kerajaan.

“Kos penerbangan sewaan khas juga lebih ekonomik, selain memastikan delegasi kerajaan dan perniagaan berlepas serta tiba bersama bagi memudahkan semua mesyuarat dan sesi libat urus,” katanya pada taklimat hari ini.

Beliau menjelaskan, kos bagi delegasi rasmi kerajaan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, manakala delegasi perniagaan membiayai perbelanjaan mereka sendiri.

Lawatan Perdana Menteri turut disertai wakil syarikat korporat utama serta perusahaan inovatif Malaysia.

Penyertaan mereka, jelasnya, tidak terhad kepada syarikat yang sudah mempunyai operasi di Afrika, sebaliknya turut melibatkan pemain industri yang sedang meneroka peluang baharu.

“Mereka dijadualkan menyertai forum perniagaan dan sesi padanan perniagaan bagi mengenal pasti potensi kerjasama yang boleh dikembangkan di rantau tersebut.

“Sinergi antara rundingan kerajaan (G2G) dan kerjasama perniagaan (B2B) akan memacu penerokaan pasaran baharu, mengukuhkan operasi sedia ada serta mengangkat kedudukan Malaysia di kawasan strategik ini,” katanya.

Mengulas kehadiran delegasi perniagaan, beliau berkata, kerajaan kini mengamalkan pendekatan diplomasi ekonomi langsung, yang menyaksikan rundingan peringkat kerajaan disertai bersama pemain industri bagi mempercepatkan hasil kerjasama ekonomi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button