
PM bertemu Putin di Forum Ekonomi Timur
VLADIVOSTOK – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang mengadakan pertemuan empat mata dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin semasa lawatan menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) kali ke-9 di sini.
Pertemuan itu turut disusuli dengan jamuan makan malam yang menyaksikan kedua-dua pemimpin berbincang secara mendalam mengenai pelbagai isu.

Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri menekankan kepentingan hubungan strategik antara Malaysia dan Rusia dengan kedua-dua negara bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti kewangan Islam, pertanian dan pendidikan.
Anwar dalam kenyataannya di Facebook berkata, Rusia dijangka menjadi rakan penting dalam memperluas rangkaian ekonomi Malaysia di peringkat global.
Katanya, Presiden Putin turut memanjangkan jemputan rasmi kepada Perdana Menteri Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS yang akan diadakan di Kazan, Rusia, pada 22 hingga 24 Oktober.
Jemputan itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dalam arena antarabangsa serta satu langkah ke arah usaha Malaysia untuk menyertai BRICS.
Perdana Menteri juga mengambil peluang untuk menyuarakan harapan agar Rusia memainkan peranan positif dalam mencari penyelesaian aman terhadap konflik di Ukraine.
Selain itu, kedua-dua pemimpin sepakat bahawa masyarakat antarabangsa perlu terus menekan Israel agar menghentikan kekejaman di Gaza.
Perdana Menteri yakin lawatan itu akan membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan Rusia pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








